'Tolong bantu selamatkan nyawa anak saya' - Mohd Shafiq

Sufi Syafrina yang menderita penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1.
Sufi Syafrina yang menderita penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Saya harap ramai pihak sudi membantu menyelamatkan nyawa anak saya," rayu Mohd Shafiq Idrus, 38, bapa kepada Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menderita penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1.

Menurut bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, Sufi Syafrina yang kini berusia 8 bulan memerlukan rawatan tambahan di Hospital Thompson bagi mendapatkan ubat Risdiplam yang mencecah lebih RM45,000.

Ujarnya, ubat tersebut hanya dibekalkan di hospital swasta terpilih dan dia tidak mampu menanggung beban kos tersebut.

Walau bagaimanapun, dia menitipkan ucapan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh pihak Sinar Karangkraf yang membantu meringankan beban kewangan mereka.

"Alhamdulillah. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Sinar Harian dan orang ramai yang sudi membantu kami.

"Dia sudah berusia lapan bulan dan ubat sahaja sudah menelan kos yang terlalu mahal sehingga mencecah jutaan ringgit," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima sumbangan daripada Sinar Karangkraf di Hospital Tunku Azizah pada Selasa.

Mohd Shafiq berkata, doktor yang merawat anaknya turut menasihati agar segera mendapatkan ubat yang diperlukan.

"Namun, yang menjadi masalah kami ialah kewangan kerana jumlah ini terlalu besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan penderitaan anak bongsu daripada tiga beradik itu dan melancarkan Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina bagi mengumpul sumbangan RM9 juta untuk suntikan Zolgensma.

Sufi kini bergantung kepada ubat Risdiplam yang berharga RM40,300 untuk tempoh 35 hari bagi mengekalkan tahap kesihatan, selain rawatan bioterapi di Hospital Shah Alam tiga hingga empat kali seminggu.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Shafiq, setakat ini keadaan kesihatan anak perempuannya sedikit baik, walaupun pada 22 September lalu terpaksa dikejarkan ke hospital akibat penurunan oksigen.

Jelasnya, doktor terpaksa memberikan kadar dos antibiotik yang tinggi bagi memastikan keadaan bayi perempuan itu terus stabil.

"Sekarang pernafasan dia semakin baik antara 90 hingga 100 peratus apabila doktor berikan ubat dengan dos yang tinggi," katanya.