Ebit Lew, Wadi Annuar antara pendakwah nafi terlibat skim pelaburan

Ebit Lew dan Wadi Annuar
Ebit Lew dan Wadi Annuar
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa penceramah agama menafikan penglibatan mereka dalam poster tawaran skim pelaburan saham kononnya patuh syariah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Poster berkenaan menampilkan gambar pendakwah dan penceramah terkenal bagi menarik perhatian masyarakat untuk melabur saham dengan syarikat tersebut.

Antara penceramah itu adalah Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Datuk Mohammad Kazim Elias dan Mohamad Wadi Annuar Ayub.

Pendakwah terkenal, Mohd Izhar Ariff menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dengan mana-mana skim pelaburan saham, malah tidak tahu pasal penggunaan gambarnya di poster berkenaan.

"Benda ini bukan kali pertama berlaku, sudah bertahun, tidak larat dah mahu buat laporan polis tetapi tiada apa-apa yang berubah. Jadi tolong maklumatkan kepada semua pihak jangan terima bulat-bulat perkara yang tersebar kecuali ia diambil daripada laman sosial saya sendiri.

"Kepada mereka yang menggunakan identiti orang lain tanpa kebenaran ingatlah halal dan haram, jangan makan duit orang dengan cara yang tidak betul," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Baru-baru ini, viral poster pelaburan saham yang menggunakan wajah-wajah pendakwah dan penceramah terkenal bagi meyakinkan orang ramai.

Poster tersebut mengajak orang ramai untuk mempelajari ilmu dan melabur saham dengan risiko rendah.

Artikel Berkaitan:

Poster yang memaparkan gambar pendakwah dan penceramah terkenal bagi menarik perhatian masyarakat untuk melabur saham.
Poster yang memaparkan gambar pendakwah dan penceramah terkenal bagi menarik perhatian masyarakat untuk melabur saham.

Tambah Mohd Izhar Ariff, perbuatan itu bercanggah dengan ajaran Islam dan salah di sisi undang-undang negara.

"Hari ini mungkin kita lepas daripada undang-undang," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penceramah bebas, Mohamad Wadi berkata, penggunaan wajah beliau di poster berkenaan tidak mendapat keizinan dan di luar pengetahuannya.

"Itu scammer, mereka buat tanpa kebenaran saya dan ia jelas satu penipuan. Jadi, saya harap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan syarikat berkenaan.

"Selalu berlaku begini, haram kalau guna gambar orang lain dengan tujuan yang salah," jelasnya.

Menurut pendakwah terkenal, Ebit Lew, poster berkenaan adalah penipuan scammer.

"Scammer ni, saya tidak tahu gambar saya digunakan dalam poster tersebut," katanya.