Belanjawan 2024: Sedia peruntukan tangani isu kekurangan 20,000 guru - Pakar

Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas untuk memastikan agenda pendigitalan pendidikan dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun 2024. - Gambar hiasan
Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas untuk memastikan agenda pendigitalan pendidikan dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun 2024. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diharap menyediakan peruntukan khas bagi tujuan lantikan guru secara 'one off' bagi menyelesaikan isu kekurangan 20,000 guru di negara ini.

Cadangan itu adalah antara lima perkara yang digariskan Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berhubung Belanjawan 2024.

Kata Anuar, kekurangan guru telah menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan dan pelajar ketinggalan dalam pelajaran.

Selain itu, Anuar menyatakan kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas untuk memastikan agenda pendigitalan pendidikan dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun 2024.

"Setiap sekolah perlu mempunyai capaian Internet yang baik untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dan Skim bantuan peranti kepada lebih ramai murid dari keluarga miskin perlu disediakan.

"Peruntukan khas untuk program latihan meningkatkan kemahiran pedagogi guru berteraskan teknologi maklumat dan peruntukan untuk menyediakan lebih banyak kandungan digital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak peluang pengajian Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk pelajar lepasan SPM selain membina lebih banyak institusi TVET dan Teknikal yang baharu.

"Kerajaan juga perlu menyediakan insentif untuk menarik dan melibatkan lebih banyak pihak swasta dalam menyediakan peluang kerjaya dalam bidang TVET dan teknikal.

Artikel Berkaitan:

"Program TVET juga perlu dipelbagaikan bentuk kursus yang ditawarkan sesuai dengan keperluan semasa seperti memperkenalkan kemahiran teknologi teknikal dalam bidang pengajian TVET pertanian dan penternakan," jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berharap, peningkatan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di sekolah dengan memberikan tumpuan kepada membaik pulih semua makmal sains supaya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat dipertingkatkan.

"Ini termasuk menyediakan padang sekolah dan peralatan sukan yang mencukupi bagi aktiviti fizikal dan sukan murid-murid supaya dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Menyediakan dewan terbuka yang berbumbung di semua sekolah bagi memastikan setiap aktiviti murid di luar bilik darjah tidak terjejas akibat masalah cuaca seperti hujan dan panas terik.

“Menambah bilangan sekolah rendah dan menengah baharu khususnya di kawasan bandar yang sedang berhadapan dengan sekolah sesak murid yang kritikal," ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!