Johor usaha tangani isu kekurangan beras tempatan - MB

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor sedang mencari kaedah terbaik bagi menangani isu kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, walaupun bekalan beras dan barang keperluan asas bukan di bawah kawalan kerajaan negeri, namun ia menjejaskan kesejahteraan penduduk Johor.
"Isu bekalan beras ini merupakan satu isu besar bukan Johor sahaja, tetapi seluruh negara, namun kita tidak bersikap lepas tangan dalam soal ini kerana akhirnya yang terkesan adalah rakyat Johor.
"Pendekatan sama diambil dalam aspek penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di Johor, begitu juga dalam isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)," katanya kepada pemberita selepas melawat Mini Karnival Maju Johor di Kota Iskandar, di sini pada Rabu.