Jangan sebelahi kartel, pilih monopoli atau pasaran terbuka - Wan Ahmad Fayhsal

Tangkap layar kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Tangkap layar kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta untuk tidak ‘menyebelahi’ kartel dalam isu bekalan beras yang tidak mencukupi di pasaran sebaliknya memilih untuk melaksanakan monopoli atau pasaran terbuka.

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, dalam isu ini, dua pilihan yang ada adalah melakukan pasaran terbuka bertujuan untuk menambah bekalan dengan membuka banyak kilang dan pemborong bukan kartel agar persaingan tersebut dapat membaiki pasaran.

Menurutnya, pilihan kedua ialah kerajaan melaksanakan monopoli sepenuhnya kerana sudah banyak kali kartel pengilang dan pemborong gagal menyelesaikan isu berkenaan.

“Jika benar kerajaan mahu mengambil alih pengilangan padi kepada beras dan pengedaran melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), adakah mereka akui kartel tidak boleh pakai walhal sudah membuat kerja ini lebih 60 tahun?

“Tidak mungkin kerajaan mahu mengambil alih pengedaran dan perkilangan beras tempatan kerana ia adalah lubuk emas para kartel dan paling teruk pun mereka menyerahkan sebahagian operasi, namun kali ini monopoli dikongsi kedua-dua pihak.

“Kerajaan perlu memilih salah satu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Berdasarkan laporan media pada Jumaat, Malaysia tidak berdepan masalah kekurangan bekalan beras memandangkan negara menghasilkan 1.5 juta tan beras setahun.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Datuk Azman Mahmood berkata, kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) dalam negara berlaku adalah disebabkan peningkatan permintaan berikutan kenaikan harga beras import.

Artikel Berkaitan:

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, ia menghairankan apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu minta pengilang melepaskan 20 peratus kuota padi kepada Bernas kerana kartel tidak pernah memberikan sebahagian lubuk emas kepada kerajaan.

“Langsung tidak masuk akal kerana permintaan terhadap beras tempatan begitu tinggi dan pasti menguntungkan jika monopoli dikekalkan.

“Tanpa memberi penjelasan lanjut, beliau (Mohamad) kata kerajaan akan memberikan kuota tambahan kepada pemborong bumiputera untuk menambah bekalan Beras Putih Tempatan (BPT). Mengapa mereka sanggup melepaskan lubuk emas?,” ujarnya.