Op Jamin diteruskan, pulihkan bekalan beras - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA - Penguatkuasaan bersepadu Op Jamin akan diteruskan agar kekurangan bekalan beras negara dapat diatasi segera dan dipulihkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, Op Jamin yang bermula sejak 7 Julai lepas telah melakukan 37 pemeriksaan membabitkan 2,322 premis kilang, borong dan runcit di seluruh negara, dengan 142 aduan diterima melibatkan isu bekalan serta harga beras.
"Antara aduan yang banyak diterima adalah berkaitan jurang harga yang sangat tinggi antara beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).
"Ini menyebabkan peniaga dan pengusaha kedai makanan beralih kepada BPT sebagai pilihan beras yang murah hingga menyebabkan bekalan BPT kurang di pasaran, lebih-lebih lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di sini pada Khamis.