Dua kapal disyaki sebabkan tumpahan minyak ditahan

Kakitangan JAS menjalankan pemeriksaan awal sampel minyak dari kapal terbabit. - Foto Facebook BES Labuan
Kakitangan JAS menjalankan pemeriksaan awal sampel minyak dari kapal terbabit. - Foto Facebook BES Labuan
A
A
A

LABUAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan menahan dua kapal yang disyaki menyebabkan kejadian tumpahan minyak berhampiran jeti Labuan Shipyard Engineering (LSE) dan perairan Patau-Patau 1, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Rithuan Ismail.

Beliau berkata, penahanan dilakukan mengikut Seksyen 38 (1)(C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Saya telah diberi taklimat oleh Pengarah JAS Labuan mengenai situasi kejadian dan pada masa ini siasatan sedang dilakukan di lima lokasi persampelan (termasuk kaedah pengesanan cap jari) bagi menentukan tahap tumpahan minyak di kawasan terjejas.

"Sampel yang dikumpul akan dianalisis di Jabatan Kimia Sabah di Kota Kinabalu," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Menurut Rithuan, hasil analisis akan menentukan dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab terhadap pencemaran berkenaan seterusnya menghadapkan kes ke mahkamah.

Beliau berkata, operasi pembersihan dan pengawalan terhadap tumpahan minyak di kawasan terjejas telah ditamatkan Jumaat lepas selepas pemerhatian mendapati tiada lagi tumpahan berlaku di kawasan itu.

Katanya, walaupun minyak telah terurai secara semula jadi, pihak JAS akan mengeluarkan notis kepada LSE untuk melakukan persampelan dan pengawasan kualiti air marin dalam tempoh seminggu selepas kejadian.

Tumpahan minyak yang meliputi kawasan seluas 1.5 kilometer persegi membabitkan kawasan jeti LSE, Patau-Patau 1 dan jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) itu dilaporkan kepada pihak Maritim pada Khamis lepas susulan maklumat daripada Persatuan Nelayan Labuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: