Didik masyarakat lebih cakna alam sekitar

Cyber Eco Hunt 2023 perluas objektif guna media sosial

A
A
A

Antara pempengaruh media sosial yang menyertai Cyber Eco Hunt 2023 membuat ‘content’ masing-masing berkenaan proses pembersihan sistem perparitan oleh kakitangan AFSB.
Antara pempengaruh media sosial yang menyertai Cyber Eco Hunt 2023 membuat ‘content’ masing-masing berkenaan proses pembersihan sistem perparitan oleh kakitangan AFSB.

KUALA LUMPUR - Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) meneruskan komitmen memupuk masyarakat cakna alam sekitar dengan mengajak mereka bersama-sama menyertai Cyber Eco Hunt 2023.

Program itu merupakan siri ketiga dilaksanakan oleh AFSB yang memfokuskan kepada peranan masyarakat mengenai tanggungjawab pengurusan sisa pepejal di kawasan bandar sekali gus melestarikan kebersihan alam sekitar.

Ketua Pengawai Eksekutif AFSB, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, pengurusan sisa pepejal di kawasan bandar adalah penting bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berlaku di samping memastikan sistem perparitan yang bersih.

Pengurusan sisa pepejal dan amalan kitar semula di kawasan bandar penting bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berlaku di samping memastikan kawasan serta sistem perparitan yang lebih bersih.
Pengurusan sisa pepejal dan amalan kitar semula di kawasan bandar penting bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berlaku di samping memastikan kawasan serta sistem perparitan yang lebih bersih.

Justeru katanya, menerusi pengaruh media sosial yang diterapkan dalam Cyber Eco Hunt 2023, ia mampu membentuk pemahaman komprehensif bagi memastikan orang ramai lebih prihatin terhadap pengurusan sisa pepejal.

“Penggunaan media sosial bukan sahaja membantu kami (AFSB) menyampaikan mesej, sebaliknya memupuk masyarakat untuk memahami dan mengetahui cara pengurusan serta pengasingan sisa pepejal yang boleh dijadikan sumber tenaga boleh guna.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zain (bertopi putih) melepaskan para peserta Cyber Eco Hunt 2023 di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mohd Zain (bertopi putih) melepaskan para peserta Cyber Eco Hunt 2023 di Kuala Lumpur pada Jumaat.

“Penglibatan 27 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat termasuk rangkaian komuniti media sosial, ‘Key Opinion Leaders’ (KOL), para pempengaruh dan penulis blog dalam Cyber Eco Hunt 2023 ini merupakan inisiatif terkini AFSB memupuk kesedaran alam sekitar menerusi pendidikan,” katanya dalam sidang media di Kafe Elephant Republic, Bukit Bintang, di sini pada Jumaat.

Mohd Zain menambah, melalui program berkenaan para peserta boleh mempelajari cara pengurusan sampah dan pengasingan sisa pepejal di samping melihat sendiri bagaimana AFSB melaksanakan kerja pembersihan longkang di kawasan bandar.

MOHAMAD NOOR IKHRAM
MOHAMAD NOOR IKHRAM

Sementara itu, selebriti, Mohamad Noor Ikhram, 31, memberitahu pengalamannya menyertai aktiviti bersama para peserta Cyber Eco Hunt 2023 telah menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan kawasan bandar daripada dicemari oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, kawasan komersial di Kuala Lumpur sering berhadapan dengan sistem perparitan yang kotor dan dipenuhi longgokan sampah sehingga mengakibatkan kejadian banjir kilat dan menyulitkan kehidupan warga kota itu.

“Bagaimanapun, masalah seperti banjir atau longkang tersumbat sebenarnya boleh diatasi jika semua pihak bersama-sama menjaga kebersihan, tidak membuang sampah serta amalkan budaya kitar semula.

“Menerusi aktiviti yang disediakan, saya juga dapat belajar banyak perkara baru tentang pengurusan sampah dan sisa makanan yang semestinya boleh diamalkan sebagai gaya hidup,” katanya.

SATTHIYA KANDI
SATTHIYA KANDI

Sementara itu, pempengaruh media sosial, Satthiya Kandi, 35, berkata, selepas mengikuti hampir tiga program anjuran AFSB itu, pelbagai informasi berguna yang diperolehnya yang mana ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Tanggungjawab saya bukan sekadar menghiburkan penonton, tetapi juga mendidik masyarakat dengan ilmu pengetahuan menerusi platform media sosial sedia ada supaya dapat di terapkan dalam kehidupan mereka.

“Saya dan suami sekarang ini lebih suka melakukan aktiviti kitar semula. Hasilnya sangat bagus, semua perkakas di rumah kami kebanyakannya daripada bahan terpakai,” ujarnya.

RAFZAN RAHIM
RAFZAN RAHIM



Pandangan yang sama turut dikongsi seorang lagi pempengaruh, Rafzan Rahim, 32, yang mana beliau sebelum ini kurang mengambil berat tentang kepentingan pengurusan sampah.

Namun, selepas mengikuti Cyber Eco Hunt 2023, pelbagai aktiviti dapat dilakukannya serta dikongsi dengan para pengikutnya di platform media sosial supaya dapat bersama-sama melestarikan alam sekitar.

“Saya tidak pernah tahu bagaimana cara pembersihan sampah di kawasan komersial Kuala Lumpur dilakukan. Tetapi, selepas melihat sendiri kerja pengurusan sisa pepejal oleh Alam Flora timbul kesedaran untuk bersama-sama menjaga alam sekitar kita,” katanya yang turut menyatakan aktiviti dalam program itu amat menyeronokkan.