Sekretariat Anti Fitnah ditubuhkan banteras fitnah

Mohd Azmi Abdul (tengah) bersama Hadzir (dua dari kiri) dan Dr Abdul Rahman (dua dari kanan) menunjukkan deklarasi selepas pelancaran SAF pada Ahad.
Mohd Azmi Abdul (tengah) bersama Hadzir (dua dari kiri) dan Dr Abdul Rahman (dua dari kanan) menunjukkan deklarasi selepas pelancaran SAF pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Sekretariat Anti Fitnah (SAF) ditubuhkan bagi membanteras sikap dan amalan fitnah yang kian menjadi gejala dalam hidup masyarakat masa kini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sekretariat itu melibatkan beberapa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Mapim, Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA), Inisiatif Madani Rakyat Darul Aman (IMRAN) dan Tabayyun Media Network.

Menurutnya, sekretariat ini diwujudkan kerana budaya fitnah dibimbangi kian berleluasa sehingga memberi kesan kepada pentadbiran negara dan proses pembangunan negara.

"Budaya fitnah juga dikhuatiri telah menjalar sehingga menjejaskan kemuliaan agama apabila berita palsu disebar dengan sengaja.

"Fitnah dan maklumat palsu memberi kesan besar dalam masyarakat hingga boleh mencetuskan ketegangan, kekeliruan, prasangka, porak-peranda kezaliman dan permusuhan,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran SAF dan Deklarasi Darul Aman bersempena Seminar Membangun Masyarakat Berbudaya Tabayyun di sebuah hotel dekat sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi SUARA, Datuk Hadzir Md Zain dan Pengarah IMRAN, Dr Abdul Rahman Ahmad.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, kes saman di mahkamah juga semakin kerap terjadi terutama dalam kalangan ahli politik berikutan kenyataan yang dilontar kepada umum secara lisan mahupun tulisan melalui media.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, fitnah dalam politik menjadi sangat berleluasa apabila diguna sebagai senjata untuk merosakkan maruah dan keperibadian lawan atau musuh politik.

Justeru, Mohd Azmi berkata, SAF akan menggerakkan Kempen Anti Fitnah dibawah IMRAN sebagai suatu usaha mendidik masyarakat mengenai budaya fitnah yang berbahaya kepada kestabilan dan keharmonian masyarakat serta negara.

Beliau memaklumkan, kempen ini akan digerakkan bagi menjalankan program bersasar, mendidik dan menyedarkan masyarakat menghindari serta memerangi fitnah.

Mohd Azmi berpandangan fitnah perlu dikengkang dan diperangi habis-habisan agar sikap berprasangka dan mencetuskan permusuhan dan perpecahan dapat dielakkan.

"Antara gerak kerja SAF termasuklah penerbitan risalah, forum, seminar, kuliah jelajah wacana, dialog, laporan polis, pemantauan media sosial,pementasan rakyat, siri majlis Tabayyun," katanya.

Menurut beliau lagi, sekretariat terbabit juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan fitnah dapat dibenteras, malah menjalinkan kerjasama dengan semua pihak untuk mencapai pembentukan masyarakat sifar fitnah.

Selain itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya turut membuat 10 deklarasi termasuklah setiap anggota masyarakat mesti mengamalkan sikap tabayyun demi menjaga maruah dan kesatuan hidup bermasyarakat.

"Antara lain, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasa undang-undang mengenai penyebaran maklumat palsu berunsur fitnah," katanya.