PRK: Menanti kempen harmoni di Pelangai

Dari kiri: Amizar, Kasim dan Haslihelmy selepas diumumkan sebagai calon PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong pada Sabtu.
Dari kiri: Amizar, Kasim dan Haslihelmy selepas diumumkan sebagai calon PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong pada Sabtu.
A
A
A

TINDAKAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dilihat tepat pada masanya.

Langkah itu bukan sahaja dapat memastikan semua parti yang bertanding lebih berhemah tetapi dalam masa sama dapat mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Paling membimbangkan apabila sentimen agama, bangsa dan raja (3R) terus digunakan sebagai modal kempen seperti yang berlaku dalam beberapa siri PRK sebelum ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, ketidakpuashatian, permusuhan, menjurus ke arah perkauman atau menyentuh sensitiviti keagamaan.

Beliau berharap agar aktiviti kempen berjalan dalam suasana penuh harmoni dan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Tambahnya, calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga tertakluk kepada undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan mengedarkan bahan kempen mengandungi wajah, lambang, simbol dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen.

Bagaimanapun, tiada sebarang had ditetapkan dalam gambar parti politik yang bertanding sekiranya mahu digunakan sepanjang 14 hari kempen berlangsung.

Gelanggang kempen bermula pada Sabtu sebaik selesai proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Elmina Central Park, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Johari yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai selepas memenangi kerusi tersebut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Seramai 16,456 pengundi layak untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Antara yang bakal mengisi kekosongan kerusi ialah calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat, 62, mewakili Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, yang sebelum ini merupakan Pemuda UMNO Bahagian Bentong turut bertanding, namun sebagai calon Bebas.

Diharapkan agar proses pengundian di PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober akan datang berjalan dengan lancar tanpa melibatkan sebarang manipulasi politik menerusi pertembungan tiga penjuru tersebut.

Pengundi di kawasan berkenaan juga perlu bijak menilai dan memilih wakil rakyat yang dirasakan mampu menyambung legasi ditinggalkan Allahyarham Johari.