PRK Pelangai: Abu Adam terharu, gembira anak jadi calon

Abu Adam (kanan) memberikan pesanan kepada anaknya, Amizar yang menjadi calon BN di PRK DUN Pelangai.
Abu Adam (kanan) memberikan pesanan kepada anaknya, Amizar yang menjadi calon BN di PRK DUN Pelangai.
A
A
A

BENTONG - "Sedih ada, gembira pun ada apabila anak terpilih menjadi calon di tempat sendiri," kata Abu Adam Juasi, 74, bapa kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ujar Abu Adam, sebelum ini anaknya bertanding di DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kali ini di DUN Pelangai yang juga tempat Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Bentong itu membesar iaitu di Felda Chemomoi.

"Syukur alhamdulillah, kami sekeluarga menyokong penuh dan berharap dapat mencapai kemenangan di DUN Pelangai," katanya.

Abu Adam ditemui di kediaman keluarga di Felda Chemomoi di sini selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul pada Sabtu.

Suasana sebak menyelubungi apabila dua beranak itu bertemu.

Amizar berpelukan dengan bapanya ketika ditemui di kediaman keluarga itu di Felda Chemomoi pada Sabtu.
Amizar berpelukan dengan bapanya ketika ditemui di kediaman keluarga itu di Felda Chemomoi pada Sabtu.

Abu Adam menegaskan beliau sering kali memberi pesanan kepada Amizar yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik supaya sentiasa menghormati orang tua dan ibu bapa.

"Kalau ditanya perangai anak, masa kecil memang sedikit nakal, biasa lah budak-budak selain seorang yang rajin dan peramah," kata warga emas itu yang memasuki tanah rancangan tersebut pada 1971.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober, manakala 7 Oktober sebagai hari mengundi.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.