‘Mufti tidak ada pencen, ia jawatan kontrak’ - Zulkifli

Zulkifli Mohamad Al Bakri
Zulkifli Mohamad Al Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan tugasan sebagai mufti tidak mempunyai pencen sebaliknya ia merupakan jawatan kontrak.

Zulkifli memaklumkan perkara tersebut susulan timbul persoalan anaknya menjadi salah seorang penerima biasiswa pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam kalangan netizen.

“Perkara paling penting yang ramai perlu tahu adalah pembahagian asnaf terbahagi kepada lapan kategori. Asnaf bukan hanya fakir miskin.

“Tak tepat ‘fakir miskin dan asnaf’. Pelajar termasuk dalam golongan ‘asnaf fisabilillah’ yang layak untuk menerima zakat,” katanya menerusi satu hantaran di aplikasi X pada Jumaat.

Pada 21 September, Zulkifli memuat naik satu hantaran yang memaparkan beliau menghantar anaknya, Abdul Syakur Zulkifli ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk melanjutkan pengajian.

Hantaran berkenaan mengundang kontroversi apabila netizen mempertikai kelayakan anak bekas menteri itu menjadi sebahagian daripada penerima biasiswa pendidikan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Tak faham macam mana dia (Abdul Syakur) dapat biasiswa daripada zakat sedangkan dia merupakan anak kepada bekas mufti. Saya yakin ayahnya (Zulkifli) mampu untuk menampung segala perbelanjaan dan sebagainya.

“Bukan ke zakat hanya untuk fakir miskin dan asnaf? Kenapa anak orang kaya boleh dapat?” soal pemilik akaun @kiminoriii di aplikasi X.

Artikel Berkaitan:

Menjawab kepada pertanyaan itu, Zulkifli berkata, pelajar dan penuntut ilmu tergolong dalam kategori asnaf fisabilillah, namun mereka perlu memohon untuk mendapatkan bantuan itu.

“Saya tidak pasti bagaimana saudara atau saudari mendapat makluman berkenaan pihak pengurusan zakat tidak mengutamakan anak fakir miskin.

“Jika ada masa, baca tentang sekolah-sekolah di bawah MAIWP. Memang keutamaannya untuk anak asnaf, fakir dan miskin. Alhamdulillah, setiap tahun jutaan diagihkan terus ke akaun mereka bagi tujuan dermasiswa, biasiswa,” katanya.