Datuk Bandar, MBS diarah bayar pampasan kepada SPM Resource Sdn Bhd

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Seremban pada Jumaat mengarahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan MBS membayar pampasan dan ganti rugi untuk ditaksirkan serta kos RM30,000 kepada syarikat SPM Resource Sdn Bhd kerana membatalkan kelulusan permohonan kebenaran merancang yang dikemukakan syarikat terbabit dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu berhubung permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan syarikat terbabit yang diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris pada 23 Ogos tahun lalu.

Haresh berkata, dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, mahkamah memutuskan keputusan responden (Datuk Bandar dan MBS) menolak permohonan kebenaran merancang pemohon dengan alasan perlu menyelesaikan kes mahkamah dengan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin adalah sesuatu yang tidak munasabah.

"Hakim turut mempersoalkan tindakan responden menolak kebenaran merancang atas alasan projek itu tidak selaras dengan dasar negeri kerana ia tidak dimaklumkan kepada pemohon.

"Malah responden juga gagal menyatakan bila dasar itu dikuatkuasakan dan ia menyebabkan kos ditanggung pemohon dalam projek itu adalah sia-sia," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Sehubungan itu katanya, mahkamah mengarahkan Datuk Bandar dan MBS membayar pampasan dan kos ganti rugi untuk ditaksirkan dan kos RM30,000 kepada plaintif bagi kos serta perbelanjaan yang telah ditanggungnya antara 11 November 2020 yang merupakan tarikh kelulusan asal sehingga tarikh surat penolakan pada 24 Mei 2022.

Sementara itu, menurut Haresh, SPM Resource Sdn Bhd telah memohon kebenaran merancang daripada MBS bagi cadangan membina sebuah kilang memproses bahan buangan sisa di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

"Permohonan syarikat ini telah diluluskan melalui kebenaran merancang melalui Borang C2 bertarikh 12 Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

"Namun pada 9 Februari 2022, kelulusan tersebut telah ditarik balik atas alasan perlu menyelesaikan prosedur mahkamah yang sedang berlangsung sedangkan syarikat itu telah mematuhi semua syarat ditetapkan dan telah mengeluarkan banyak kos untuk mematuhi syarat tersebut, "katanya.

Dalam pada itu, peguam defenden, V Ganesalingam ketika dihubungi pemberita berkata, pihaknya belum pasti sama ada mahu membuat rayuan terhadap keputusan itu atau sebaliknya.