KLIP: Bayaran pampasan kepada nelayan terjejas bermula September

Dr Muhamad Akmal - Foto Bernama
Dr Muhamad Akmal - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Bayaran pampasan keseluruhan berjumlah RM5.4 juta termasuk kepada nelayan dan awak-awak berlesen yang terjejas ekoran pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di sini, dijangka diagihkan secara berperingkat bermula September ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.3 juta melibatkan bayaran pampasan kepada nelayan di kawasan Melaka Barat dan sebahagian di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebanyak RM1 juta akan disalurkan ke tabung khas bagi kegunaan nelayan di kawasan Melaka Barat, termasuk melaksanakan aktiviti ekonomi hiliran manakala RM100,000 diperuntukkan untuk membangunkan infrastruktur nelayan, termasuk penambahbaikan jeti nelayan dan kemudahan balai nelayan.

"Kita sedang mengenal pasti kaedah pembayaran yang terbaik bagi menyalurkan pampasan berkenaan, yang dijangka dibayar secara berperingkat sebanyak tiga fasa dan pembayaran fasa pertama akan dibuat selewat-lewatnya pada September depan.

"Kita juga akan berhubung dengan kerajaan Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat berkaitan jumlah nelayan yang terjejas, agar pembayaran pampasan berkenaan dapat dilakukan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup Sekali Beri Nelayan Alor Gajah bagi Bayaran Kedua dan Ketiga, di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, sebanyak 316 nelayan di Alor Gajah menerima bayaran insentif sara hidup bagi fasa dua dan tiga, melibatkan perutukan berjumlah RM158,000 dan penyerahan insentif berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dr Akmal berkata, pampasan berkenaan dibayar kerana aktiviti perikanan di kawasan pembangunan KLIP dijangka terjejas, sekali gus memberi kesan kepada hasil tangkapan laut dan pendapatan nelayan.

Sementara itu, beliau berkata, isu perumahan nelayan di bawah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Negeri Melaka yang dibangunkan di Kuala Linggi, dijangka selesai pada Ogos ini.

"Kita akan membuat serahan kunci kepada nelayan yang layak, kerana kita tidak mahu lagi isu ini tertangguh kerana telah berlarutan sekian lama, dan kesemua 60 unit rumah nelayan yang telah dibangunkan itu akan mula diduduki selewat-lewatnya Ogos ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jabatan Perikanan negeri, Jabatan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah diarah menyiasat dakwaan nelayan di Port Dickson, Negeri Sembilan berkaitan pencerobohan kawasan tangkapan hasil perikanan oleh nelayan dari Melaka.

Dr Akmal berkata, siasatan berkenaan termasuk melihat kawasan persempadanan perairan antara kedua-dua negeri berkenaan bagi aktiviti tangkapan laut dan sekiranya dikesan berlaku pelanggaran, tindakan akan diambil ke atas nelayan terlibat. - Bernama