Kilang elektronik cemar sungai didenda RM30,000

Kuan Ho ketika keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Kuan Ho ketika keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Sebuah kilang pengeluaran elektronik di Batu Berendam didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas kesalahan melakukan pencemaran sisa kimia ke dalam sungai tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menetapkan keputusan itu sejurus syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengarahnya, Yong Kuan Ho, 53, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat terbabit didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had Piawaian B seperti mana ditetapkan ke dalam perairan pedalaman yang mana kandungan Biological Oxygen Demand (BOD) mempunyai kepekatan tinggi.

BOD dilepaskan sebanyak 77 mg/l (miligram per liter) melebihi had dibenarkan iaitu 50 ml/g seperti ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian), 2009 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127)

Sabit kesalahan, OKS boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Perbuatan itu didakwa dilakukan No 8722, Plot 8, Kawasan Perindustrian Bebas Batu Berendam, di sini, kira-kira jam 11.10 pagi hingga 1 petang pada 18 Ogos tahun lalu.

Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Melaka, Elbyta Rozana Mohd Hatta bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada syarikat itu kerana ini bukanlah kesalahan pertama yang dilakukan mereka namun merupakan kesalahan berulang kali yang dilakukan.

"Syarikat itu sebelum ini pernah didenda keseluruhan sebanyak RM85,000 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah peraturan sama sebelum ini pada 2010, 2018 dan 2020," hujahnya.

Sementara itu, Yong Kuan yang diwakili peguam Chirstal Wong memohon mahkamah mengurangkan denda kerana pengakuan OKS telah menjimatkan kos dan masa.

Mahkamah kemudian mengarahkan OKS membayar denda RM30,000.