Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini menjelang keputusan kadar faedah Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang akan diumumkan lewat malam ini.

Indeks dolar AS (DXY) yang mengukur prestasi dolar AS berbanding enam mata wang utama yang lain, juga diniagakan rendah berdasarkan jangkaan peniaga bahawa FOMC akan mengekalkan kadar faedah semasa, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempaan itu naik kepada 4.6840/6880 berbanding dolar AS 4.6940/6980 ketika ditutup pada Selasa.

Pengurus SPI Asset Management, Stephen Innes berkata kepada Bernama peniaga membeli dolar AS sejak dua bulan lepas, justeru, kemungkinan terdapat pelarasan kecil kedudukan hari ini, menyebabkan ringgit ditutup kukuh.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa inflasi di United Kingdom terus menurun dengan inflasi keseluruhan dan inflasi teras Ogos masing-masing menyederhana kepada 6.7 peratus (Julai: 6.8 peratus) dan 6.2 peratus (Julai: 6.9 peratus).

"Mungkin kadar penanda aras Bank Of England telah benar-benar menghampiri paras kemuncaknya. Bagi gandingan dolar AS-ringgit, ringgit menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 0.23 peratus berbanding dolar AS.

"Bagaimanapun, ia masih perlu dipantau sama ada peningkatan itu mampu dikekalkan. Kita akan lihat bagaimana naratif Fed dan ramalan terkini mereka apabila mereka mengakhiri mesyuarat FOMC malam ini,” katanya.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Artikel Berkaitan:

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.1653/1682 daripada 3.1776/1806 ketika ditutup pada Selasa, meningkat berbanding euro kepada 5.0114/0157 daripada 5.0160/0203 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.7955/8005 daripada 5.8126/8175 semalam.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang Asean lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4348/4382 daripada 3.4436/4468 pada Selasa dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.26 daripada 8.27/8.28 sebelum ini.

Ringgit juga meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 304.5/304.9 daripada 305.1/305.6 ketika ditutup pada Selasa dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9891/13.0056 daripada 13.0563/0718 semalam. - Bernama