Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila unit negara maju meningkat susulan kenyataan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.
Penganalisis berkata, prestasi ringgit adalah seiring dengan kebanyakan mata wang Asia yang merosot pada Khamis selepas Fed mengekalkan kadar faedah untuk sementara, namun menegaskan akan kekal lebih tinggi untuk tempoh lebih panjang.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.6890/6940 berbanding dolar AS daripada 4.6840/6880 sewaktu ditutup pada Rabu.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, potensi peningkatan kadar faedah AS pada November banyak bergantung kepada data, manakala kadar faedah AS yang dikekalkan pada Rabu adalah langkah "menghentikan seketika kenaikan kadar faedah.”