Ringgit melantun semula, ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS apabila rundingan had siling hutang AS berjalan lancar dengan mata wang tempatan juga mengukuh berbanding mata wang utama lain dan serantau.
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS apabila rundingan had siling hutang AS berjalan lancar dengan mata wang tempatan juga mengukuh berbanding mata wang utama lain dan serantau.
A
A
A

RINGGIT melantun semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS apabila rundingan had siling hutang Amerika Syarikat (AS) berjalan lancar dengan mata wang tempatan juga mengukuh berbanding mata wang utama lain dan serantau.

Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.5970/6035 berbanding dolar AS meningkat daripada paras penutup 4.6245/6285 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit pulih semula hari ini berlegar pada paras RM4.6082.

"Nampaknya ada berita positif daripada perbincangan had hutang AS, dengan beberapa pengurangan perbelanjaan dalam bahagian tertentu. Sekiranya penggubal undang-undang AS mencapai persetujuan dengan had siling hutang dengan segera, pendekatan risiko akan kembali semula.

"Pergerakan dolar AS-ringgit pada RM4.6125 agak rendah daripada paras ketahanan segera pada RM4.6257 dan ia dianggap terlebih jual berdasarkan kepada petunjuk teknikal,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan hari ini, ringgit meningkat berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6819/6899 daripada paras penutup 5.7247/7296 pada Khamis, naik berbanding euro kepada 4.9340/9409 daripada 4.9630/9673 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.2918/2967 daripada 3.3141/3172.

Ringgit diniagakan naik sedikit berbanding mata wang negara-negara Asean lain yang juga terjejas akibat daripada drama rundingan had siling AS, dengan peso Filipina turun 0.49 peratus berbanding dolar AS diikuti baht Thailand (0.07 peratus).

Unit tempatan melantun semula kepada 3.4012/4062 berbanding dolar Singapura daripada 3.4202/4237 pada Khamis dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 307.3/307.9 daripada 309.2/309.6.

Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.25 daripada 8.25/8.26 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2539/2784 daripada 13.3602/3776 sebelumnya. - Bernama