Koperasi disaran gabung, usahakan pertanian berskala besar

PORT DICKSON - Gerakan koperasi disaran bergabung dan mengusahakan sektor pertanian secara berskala besar bagi membantu memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Dr Mohd Ali Mansor berkata, langkah itu juga dapat memberikan pulangan yang lebih baik berbanding mengusahakan pertanian secara kecil-kecilan.
"Kalau kita lihat, kebanyakan koperasi kita berada di luar bandar dan mempunyai banyak tanah terbiar serta kawasan yang boleh dibangunkan secara berskala besar.
"Jika diusahakan secara kecil-kecilan, ia tidak begitu menguntungkan. Tetapi kalau koperasi mampu bergabung untuk mewujudkan kawasan pertanian yang lebih besar, ini akan memberi peluang yang lebih besar, terutama dalam membantu memperkukuh keterjaminan makanan negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Peranan Koperasi Memperkukuh Keterjaminan Makanan Negara dan Peluncuran Inisiatif Lestari (ESG) IKMa di sini pada Rabu.
Turut hadir, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah; Penasihat Strategik Kelestarian ESG IKMa, Dr Ts Norsaidatul Akmar Mazelan; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan IKMa, Mohd Zaib Mat Yunus dan Pengarah KynoHaigo Education Sdn Bhd, Dr Mohd Saifulhaziq Noorman.
Majlis itu dihadiri seramai 162 peserta dan turut diadakan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara IKMa dengan KynoHaigo Education serta penyampaian sijil penghargaan kompetensi halal kepada tiga penerima.
Menurutnya, pendekatan itu juga akan memudahkan agensi kerajaan menyalurkan bantuan, khidmat bimbingan, geran dan pinjaman kepada koperasi yang terlibat.

Jelas beliau, daripada keseluruhan 16,468 koperasi di seluruh negara, kira-kira 300 daripadanya menceburi bidang pertanian.
"Walaupun jumlah itu nampak kecil, tetapi ada koperasi yang memiliki kawasan tanah pertanian seluas 7,000 hingga 20,000 ekar (8,000 hektar).
"Kebanyakannya mengusahakan tanaman sawit, selain buah-buahan dan padi, manakala koperasi lain lebih tertumpu kepada aktiviti kredit," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Ali berharap koperasi tersebut dapat meningkatkan keupayaan pengeluaran hasil masing-masing melalui penggabungan usaha dan sumber.
"Kalau dilaksanakan secara kecil, ia lebih kepada pekebun kecil, tetapi dalam konteks koperasi, kita sebenarnya lebih baik bergabung," katanya.
Mengulas mengenai peluncuran ESG IKMa, beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam menerapkan kepentingan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam budaya kerja serta pengurusan organisasi.
Jelas beliau, ia merupakan satu pendekatan baharu dalam usaha memastikan pembangunan dan aktiviti ekonomi dilaksanakan secara lebih mampan demi masa depan yang lebih baik.
"ESG ini sangat baik kerana ia merupakan satu pendekatan baharu untuk melihat kepada masa depan yang lebih baik, setelah kita menyaksikan banyak kemusnahan berlaku akibat usaha mengaut keuntungan tanpa mengambil kira aspek kelestarian," katanya.
Justeru, beliau berharap Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dapat mempertimbangkan elemen ESG sebagai sebahagian daripada kriteria pemilihan dalam penarafan 100 koperasi terbaik negara.
"Apabila koperasi diangkat sebagai antara 100 koperasi terbaik, masyarakat akan mengetahui bahawa koperasi berkenaan mempunyai standard tertentu termasuk dalam mengamalkan prinsip ESG," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

