MIFF 2027 satukan industri perabot Malaysia

MIFF 2027 menyaksikan kerjasama industri antara MIFF, MATRADE, MFA dan MFC.
MIFF 2027 menyaksikan kerjasama industri antara MIFF, MATRADE, MFA dan MFC.
A
A
A

PAMERAN Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF), pameran perdagangan perabot terbesar di Asia Tenggara memperkukuh kedudukannya sebagai platform perdagangan utama menerusi kerjasama dengan Majlis Perabot Malaysia (MFC) sebagai Rakan Industri bagi penganjuran MIFF 2027.

Menerusi kerjasama itu, MFC yang merupakan badan kebangsaan mewakili persatuan-persatuan perabot negeri di Malaysia akan berganding bahu dengan Persatuan Perabot Muar (MFA) selaku Rakan Strategik MIFF serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai Rakan Dagangan Antarabangsa MIFF.

Gabungan ketiga-tiganya menghimpunkan wakil industri, kepakaran dalam bidang pembuatan dan sokongan promosi perdagangan di bawah satu platform antarabangsa sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai pengeluar tempatan menembusi pasaran global.

Menerusi kerjasama berkenaan, MFC akan menggalakkan ahli-ahlinya menyertai MIFF 2027 sebagai pempamer pada pameran yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 2027 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pengurus Besar MIFF, Kelie Lim berkata, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama dengan pemain industri bagi membangunkan platform yang mampu memberikan nilai tambah kepada sektor perdagangan.

“MIFF mengalu-alukan penyertaan MFC sebagai Rakan Industri, menghargai sokongan berterusan MFA selama ini dan menantikan peluang untuk memperkukuh kerjasama yang lebih erat lagi dengan MATRADE.

“Usaha menghimpunkan lebih ramai pemain industri merupakan pendekatan kami untuk memastikan setiap kunjungan pembeli memberikan manfaat serta berlangsung dengan lebih cekap,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden MFC, Desmond Tan berkata, MFC melihat MIFF sebagai platform berkesan untuk membantu ahli-ahlinya meneroka pasaran baharu, mengambil kira profesionalisme, pengaruh global dan jaringan industri yang dimiliki pameran berkenaan.

Beliau berkata, MFC komited bekerjasama dengan MIFF dalam mempromosikan industri perabot Malaysia ke peringkat global.

“Sebagai majlis kebangsaan, MFC memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan industri perabot Malaysia.

"MIFF pula, yang dianjurkan oleh Informa Markets, sebuah penganjur pameran perdagangan profesional bertaraf antarabangsa telah berjaya menghubungkan pengeluar perabot Malaysia dengan pasaran global selama lebih 30 tahun.

“Melalui kerjasama ini, kami dapat menggabungkan kepakaran industri dengan kekuatan platform MIFF bagi memberikan sokongan lebih menyeluruh kepada ahli-ahli kami,” katanya.

Tambah beliau, dalam persekitaran pasaran yang dinamik, industri akan menjadi lebih kukuh apabila semua pihak bersatu.

“MFC komited memanfaatkan sepenuhnya peluang ini melalui kerjasama erat dengan MIFF,” katanya.

Dalam pada itu, MFA yang menjadi Rakan Strategik MIFF sejak 2013 terus menyokong usaha pameran berkenaan dalam memberikan pendedahan dan akses kepada pasaran antarabangsa kepada pengeluar perabot dari Muar.

Sebilangan besar ahli MFA menyertai pameran di Muar Hall, MITEC bagi mengetengahkan keistimewaan Muar yang terkenal sebagai “Bandar Perabot Malaysia”.

Presiden MFA, Steve Ong berkata, penyertaan MFC sebagai Rakan Industri merupakan satu lagi langkah penting ke arah menghimpunkan lebih banyak segmen industri perabot Malaysia dalam satu platform yang lebih menyeluruh.

“Sebagai Rakan Strategik MIFF, kami menghargai peranan pameran ini dalam menghubungkan pengeluar perabot Malaysia dengan pembeli antarabangsa.

“Kami mengucapkan tahniah kepada MIFF dan MFC di atas pencapaian penting ini serta berbesar hati melihat seluruh industri bersatu. Selain itu, kami berharap dapat terus memperkukuh kerjasama dengan MIFF dan MFC bagi membuka lebih banyak peluang kepada pengeluar perabot di seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, MATRADE meneruskan peranannya sebagai Rakan Dagangan Antarabangsa MIFF dengan menyokong promosi pameran itu di luar negara serta menghubungkannya dengan pembeli antarabangsa.

Kerjasama MATRADE dan MIFF turut memberi tumpuan kepada promosi perabot buatan Malaysia ke pasaran global.

Melalui rangkaian perdagangan dan maklumat risikan pasaran yang dimiliki, MATRADE membantu lebih ramai pengeluar tempatan yang menyertai MIFF mengenal pasti bakal pembeli serta memperluas pasaran dagangan di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk’ Indera Abu Bakar Yusof berkata, MIFF merupakan platform eksport utama bagi industri perabot Malaysia.

“Melalui kerjasama dengan MIFF, kami akan terus memperkasa serta memudah cara usaha pengeluar tempatan untuk meningkatkan akses kepada pasaran global di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal perabot yang dipercayai di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pasaran perabot global dijangka mencatat pertumbuhan stabil antara empat hingga lima peratus dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus mencerminkan peluang besar yang perlu dimanfaatkan pengeksport perabot Malaysia.

Selain membuka peluang perniagaan kepada pengeluar tempatan, MIFF turut menyumbang kepada pembangunan ekosistem acara pelancongan dan perniagaan negara dengan membawa masuk pengunjung perdagangan antarabangsa ke Kuala Lumpur.

Dengan sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), penganjuran MIFF melengkapi usaha negara menarik lebih banyak acara perniagaan antarabangsa, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2027.

Antara tarikan utama MIFF yang sedia ada ialah Muar Hall, MIFF OFFICE, xOrdinary serta pameran FDC CLUB – The SELECT 2.0. Penganjuran pada 2027 turut memperkenalkan Live. Work. Play iaitu pengalaman baharu di WTCKL selain seminar industri dan beberapa inisiatif lain.

Kesemua pengisian itu menawarkan pengalaman yang melangkaui aktiviti penyumberan menerusi pilihan produk dan reka bentuk perabot, perkongsian maklumat serta wawasan industri selain peluang membina rangkaian perniagaan kepada pembeli.

Pendaftaran pengunjung kini dibuka menerusi www.miff.com.my. Pendaftaran adalah percuma sehingga 19 Februari 2027 sebelum yuran kemasukan sebanyak RM30 dikenakan selepas tarikh berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!