MAIS sumbang RM510,000 kepada 81 Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan

Abdul Aziz (depan, tiga dari kanan) pada perasmian Seminar Pemerkasaan PIBK 2023 pada Rabu.
Abdul Aziz (depan, tiga dari kanan) pada perasmian Seminar Pemerkasaan PIBK 2023 pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan berjumlah RM510,000 kepada 81 Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) yang bernaung di bawah agensi itu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sumbangan itu diberikan berdasarkan komitmen pertubuhan dalam menangani isu berkaitan ancaman akidah dan sosial.

Menurutnya, sumbangan turut diukur mengikut Penilaian Prestasi dan Keberkesanan Program PIBK MAIS bagi tempoh setahun.

"Semoga pemberian ganjaran ini akan mendorong semua PIBK MAIS untuk bersama-sama berganding bahu dalam mempertahankan dan memartabatkan kesucian agama Islam di Selangor.

"Saya juga mengharapkan agar PIBK yang ada pada ketika ini, lebih aktif dan tabayyun dalam menangani isu ancaman akidah dan sosial khususnya di Selangor,” katanya pada perasmian Seminar Pemerkasaan PIBK 2023 pada Rabu.

Antara PIBK yang menerima sumbangan ialah Pertubuhan Guru Kafa Sabak Bernam, Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor, Pertubuhan Mualaf India Se-Malaysia, Persatuan Cina Muslim He-Ping, Persatuan Wanita Islam Prihatin dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat.

Ujarnya, kesemua PIBK tersebut dibahagikan kepada 10 kluster iaitu Kluster Dakwah & Islah, Kluster Pemantapan Akidah, Kluster Pemerkasaan Halalan Toyyiban, Kluster Pendidikan Islam dan Kluster Pembangunan Mualaf.

"Kluster Pendidikan Islam, Kluster Pemulihan Riqab, Kluster Kebajikan Fakir dan Miskin, Kluster Kebajikan Anak Yatim, Kluster Pembangunan Kekeluargaan Islam dan Kluster Amal Makruf Nahi Mungkar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seminar Pemerkasaan PIBK 2023 dihadiri seramai 230 peserta di kalangan PIBK, Anggota Jawatankuasa Dakwah Negeri Selangor, Anggota Jawatankuasa Teknikal Pemerkasaan PIBK, ketua-ketua jabatan, bahagian dan anak syarikat MAIS serta masyarakat awam.

Persidangan diadakan bagi memberi peluang dan ruang kepada PIBK untuk bertukar-tukar idea dan pandangan dalam menangani isu-isu semasa ummah yang melibatkan kepentingan Islam di Selangor.