FGV sumbang RM840,700 kepada saudara baharu di Nabawan, Kundasang

Nazrul (kanan) menyerahkan replika cek tajaan program FGV Seikhlas Hati sebanyak RM840,700 kepada Haji Zulkifli Wahijan sambil diperhatikan Ruslan (dua dari kanan) dan Bungsu.
Nazrul (kanan) menyerahkan replika cek tajaan program FGV Seikhlas Hati sebanyak RM840,700 kepada Haji Zulkifli Wahijan sambil diperhatikan Ruslan (dua dari kanan) dan Bungsu.
A
A
A

SHAH ALAM - FGV Holdings Berhad (FGV) dengan kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM) mengagihkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM840,700 kepada 701 keluarga saudara baharu sekitar daerah Nabawan dan Kundasang, Sabah sempena program FGV Seikhlas Hati pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, sumbangan diberikan itu meliputi wang tunai, pek barangan makanan asas keluaran FGV, kit kelengkapan ibadah serta peruntukan untuk pembinaan sebuah masjid dan sebuah rumah asnaf.

Jelasnya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan memberi peluang kepada pihaknya menyalurkan bantuan khusus buat saudara baharu melibatkan 11 kampung di sekitar dua daerah tersebut yang dihimpit kesusahan

"FGV berterima kasih kepada MCM dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) atas kerjasama yang sangat baik dalam mengenal pasti dan menyalurkan sebahagian daripada wang zakat wakalah perniagaan FGV kepada golongan yang memerlukan.

“Usaha-usaha kami dalam program ini mencerminkan komitmen kami untuk membantu komuniti-komuniti yang memerlukan di seluruh pelosok negara terutamanya di sekitar kawasan operasi perniagaan FGV,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hadir sama, Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yasin dan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan.

Menerusi majlis sama, Nazrul turut menyerahkan cek replika sumbangan zakat perniagaan FGV sebanyak RM6.3 juta bagi negeri Sabah kepada Bungsu @ Aziz yang menerimanya bagi pihak MUIS.

Artikel Berkaitan:

Ruslan (sembilan dari kanan) dan tetamu kehormat yang lain bergambar bersama sebahagian penerima sumbangan majlis FGV Seikhlas Hati.
Ruslan (sembilan dari kanan) dan tetamu kehormat yang lain bergambar bersama sebahagian penerima sumbangan majlis FGV Seikhlas Hati.

Tambah Nazrul, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, FGV juga merupakan antara pembayar zakat perniagaan terbesar bagi syarikat senaraian awam bumiputera (BLPC) selama beberapa tahun ini.

Ujarnya, FGV juga melunaskan kewajipan zakat perniagaan di semua negeri-negeri syarikat berkenaan beroperasi termasuk Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan RM35.3 juta bagi pengagihan zakat perniagaan kumpulan FGV yang akan ditunaikan pada tahun ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Nabawan dipilih sebagai lokasi program kerana daerah berkenaan merupakan pusat penempatan semula saudara baru yang memeluk Islam sejak awal tahun 1970an.

“Kesemua 701 keluarga yang menerima sumbangan pada hari ini adalah saudara baharu yang memeluk Islam antara tempoh sebulan sehingga lima tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, MCM amat berbesar hati dan berterima kasih kerana mendapat kepercayaan syarikat berkenaan untuk menjadi rakan kerjasama bagi melaksanakan program terbabit.

“MCM dan FGV pernah dua kali bekerjasama sebelum ini dalam program Bantuan Mangsa Banjir di Pantai Timur pada tahun 2022 serta sumbangan komputer riba untuk penuntut universiti pada awal tahun 2023.

“Bagaimanapun, kerjasama di Nabawan ini membabitkan skala lebih besar daripada segi nilai kewangan yang diperuntukkan dan juga jumlah penerima manfaat. Alhamdulillah," katanya.