‘Boleh kritik tapi tak benar kata kita kejam’ - PM

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pihak pembangkang boleh mengkritiknya untuk pelbagai perkara, tetapi tidak benar apabila mengatakan bahawa kerajaan bersifat kejam dan menganaktirikan negeri-negeri.

Anwar berkata, bulan ini sahaja dua kali kerajaan memanggil mesyuarat melibatkan pihaknya dengan menteri-menteri besar, setiausaha kerajaan negeri serta exco-exco yang berkenaan.

“Saya nak sebutkan di sini peruntukan pemberian bantuan negeri 2023. Kedah, RM512.1 juta lebih daripada tahun lalu dan sebelumnya semasa Perikatan Nasional (PN).

“Kelantan RM351.5 juta lebih dari masa PN perintah, Terengganu RM411.1 juta dan Perlis RM154 juta, itu lebih semasa PN memerintah,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, terdapat juga dakwaan tidak benar daripada pihak tertentu mengatakan Pulau Pinang mendapat peruntukan bantuan negeri yang lebih berbanding negeri lain.

“Pada 2023 Pulau Pinang mendapat peruntukan pemberian kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.3 juta, lebih rendah daripada tiga negeri yang disebut dan peruntukan pembangunan pula RM1.3 bilion lebih rendah daripada Kelantan dan Terengganu.

“Sebab itu saya ambil keputusan untuk menambah projek di Pulau Pinang, tren Transit Aliran Ringan (LRT) dan lapangan terbang di samping tambahan RM3 bilion mula di Kedah untuk kemudahan dan infrastruktur tanaman padi lima musim selama dua tahun

“Bagaimana boleh sewenang-wenang bercakap soal zalim dan menindas. Itu tidak ada fakta mana mungkin seorang pemimpin boleh berhujah sebegitu rupa padahal kita sudah menjelaskan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: