Gerakan kritik dakwaan kerajaan 'walk the talk'

Dominic Lau Hoe Chai
Dominic Lau Hoe Chai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengkritik dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa kerajaan hari ini 'walk the talk' kerana komited dalam pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan integriti institusi perundangan terpelihara.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebaliknya berkata, kenyataan Azalina ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat itu tidak berfakta, menipu diri sendiri dan rakyat Malaysia.

Dominic mendakwa, selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, mereka hanya menipu rakyat dengan tidak menunaikan janji mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lepas.

“Selama sembilan bulan PH-BN memerintah, kerajaan masih tidak mampu menyelesaikan kenaikan harga barang dan tidak mampu menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan PH-BN juga menipu untuk memberi kebebasan bersuara kepada rakyat, dan juga semua media. Ini dikatakan 'walk the talk'?” soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Dominic turut mendakwa bukan itu sahaja, malah kerajaan PH-BN juga hipokrit dalam memerangi rasuah.

Dakwanya, kerajaan bukan sahaja tidak menyiasat atau mendakwa rasuah yang melibatkan ahli Parlimen, sebaliknya mereka melepaskan kluster mahkamah.

“Bukan itu sahaja, (Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) juga pernah berkata bahawa beliau akan memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dahulu tetapi sehingga ke hari ini, ahli Parlimen pembangkang masih belum menerima peruntukan walaupun satu sen.

Artikel Berkaitan:

“Jadi penggulungan Azalina di Dewan Rakyat hari ini adalah satu penipuan dan penghinaan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.