Dedahkan laporan siasatan buku Tommy Thomas - MP Jerlun

Abd Ghani (gambar kecil) berkata, laporan hasil siasatan PPK terhadap buku memoir Tommy wajar didedahkan kepada umum.
Abd Ghani (gambar kecil) berkata, laporan hasil siasatan PPK terhadap buku memoir Tommy wajar didedahkan kepada umum.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan diminta mendedahkan perkembangan terkini siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ahli Parlimen Jerlun, Abd Ghani Ahmad berkata, Tommy menerusi buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ mendedahkan isu pelantikan hakim yang didakwa wujud campur tangan dalam sistem kehakiman negara termasuk pendakwaan politik terpilih.

Menurutnya, laporan hasil siasatan PPK terhadap buku memoir tersebut wajar didedahkan kepada umum kerana rakyat Malaysia berhak mengetahui isu sebenar membabitkan bekas Peguam Negara lantikan politik tersebut.

“Pada 27 Oktober 2022, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan menubuhkan PPK.

“Saya ingin bertanya apakah perkembangan terkini PPK tersebut, ia penting agar setiap tindakan kerajaan selari dengan hasrat untuk membendung rasuah dan menegakkan integriti,” jelasnya.

Abd Ghani berkata, perkara itu turut dibangkitkan beliau dalam sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen.

“Saya harap persoalan itu akan dijawab oleh Anwar dalam sesi penggulungan kelak, ini kerana laporan berkenaan disediakan oleh PPK sejak Disember 2021 hingga Ogos 2022,” ujarnya.

Sebelum ini, pada Ogos 2022, Wan Junaidi memaklumkan PPK telah membentang dan menyerahkan laporan berkenaan kepada pihaknya dalam mesyuarat yang dihadiri pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 April lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan bersetuju dengan pembentangan Laporan Interim oleh pasukan berkenaan yang dipengerusikan bekas Peguam Besar Negeri Sarawak dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung.