Bila RCI Tommy Thomas akan bermula? - Mohd Puad

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa bahawa rakyat di negara ini tertunggu-tunggu akan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas, My Story: Justice In The Wilderness.

Beliau turut mempersoalkan kepada kerajaan tentang pelaksanaan RCI berkenaan akan dimulakan kerana penubuhannya sudah dipersetujui pada Januari lalu.

“Bila agaknya RCI Tommy Thomas akan bermula? Rakyat tertunggu-tunggu. Malaysia terkenal dengan “justice delay”. Kes Zeti, suami Zeti dan Hakim Nazlan terus senyap.

“Mana mungkin pejabat Peguam Negara tidak efisien,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan RCI untuk menyiasat buku bekas Peguam Negara itu belum ditubuhkan.

Pada masa sama, Mohd Puad turut mempersoalkan mungkin wujudnya halangan dalaman penubuhan RCI itu.

“Apakah wujud halangan dari dalam? Semoga tidak ada konspirasi dan kedegilan.

“Jadi, segerakan pemisahan antara Jabatan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara. Rakyat tidak mahu Malaysia dilanda ‘terkejut beruk’ 2.0,” ujarnya.