PRK DUN Pelangai: Ikut jejak pengundi Johor tolak politik kebencian

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diharap mengikut jejak pengundi Johor yang memilih mengekalkan Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan politik.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia juga menggambarkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor akur pada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sebelum ini mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, langkah sama wajar diikuti pengundi DUN Pelangai dalam mempertahankan Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan seperti titah Seri Paduka Baginda.

“Saya percaya pengundi di Pelangai akan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Sultan Pahang untuk pertahankan Kerajaan Perpaduan di Pahang termasuk Persekutuan seperti dititahkan Seri Paduka Baginda ketika negara berdepan kemelut politik,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Mahfuz berkata, pengundi DUN Pelangai mesti dilihat bersama dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong agar nama baik Seri Paduka Baginda tidak tercalar oleh doktrin kebencian dan permusuhan yang boleh menjejaskan hubungan rakyat Pahang.

“Rakyat Johor membuktikan mereka mempertahankan budaya politik sepakat dan muafakat yang menjadi asas terbentuknya bangsa Johor. Ini bermakna tiada tempat untuk politik kebencian dan permusuhan bertapak di Johor.

“Perkara sama wajar berlaku di DUN Pelangai, walaupun ada cubaan daripada parti pembangkang untuk memupuk budaya politik kebencian dan permusuhan, elakkan daripada terpedaya dengan kempen sebegitu,” katanya.

Menurutnya lagi, rakyat hendaklah bangkit untuk memerangi politik kebencian dan permusuhan yang dibudayakan oleh segelintir parti politik.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap pengundi memilih politik damai dan pertahankan perpaduan serta kesatuan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kekalkan kestabilan politik sedia ada,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober yang mana hari penamaan calon ditetapkan pada 23 September.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, yang turut mengorbankan sembilan individu lain.