Himpunan Selamatkan Malaysia atau Keretapi Sarong?

Peserta yang menggayakan pakaian tradisional dan kain batik atau sarong ketika Keretapi Sarong 2022. - Foto: Bernama
Peserta yang menggayakan pakaian tradisional dan kain batik atau sarong ketika Keretapi Sarong 2022. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu negara, Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan hari ini berikutan penganjuran dua perhimpunan besar yang dijadualkan berlangsung sempena Hari Malaysia.

Himpunan tersebut ialah Himpunan Selamatkan Malaysia dianjurkan bersama Perikatan Nasional (PN) dan badan bukan kerajaan (NGO), serta Keretapi Sarong 2023 yang akan tertumpu di kawasan pusat bandar.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, himpunan yang dirancang itu bertujuan membuka mata rakyat tentang isu politik semasa yang dakwanya bakal menyelamatkan Malaysia.

Peserta terlibat dijadualkan berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru dan himpunan aman dijangka bermula selepas Zohor.

Pelbagai reaksi dizahirkan berhubung perhimpunan tersebut namun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengingatkan pihak berkuasa bahawa rakyat mempunyai hak dalam perlembagaan untuk berhimpun secara aman kerana ia adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang berfungsi.

Justeru, polis bertanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan memastikan keselamatan peserta dan kawalan trafik berjalan lancar ketika perhimpunan itu berlangsung.

Sementara itu, objektif perhimpunan tentunya berbeza bagi penganjuran program `flash mob' atau persembahan kilat berkumpulan Keretapi Sarong 2023 yang bertujuan meraikan kebudayaan dan variasi etnik dalam negara.

Lebih 10,000 peserta yang melakukan pergerakan menggunakan pengangkutan awam tren seawal jam 8.30 pagi dari stesen-stesen terpilih dijangka membanjiri Dataran Merdeka.

Artikel Berkaitan:

Program yang dimulakan sekitar 2012 itu bakal menyaksikan para peserta memakai kain sarung sama ada batik atau pelekat yang menjadi simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Terpulang kepada rakyat untuk memilih menyertai acara himpunan yang mana selagi tidak mencetuskan kekecohan melampau yang menggugat ketenteraman dan keselamatan orang awam.

Sentiasa amalkan sikap toleransi antara satu sama lain dan terus menyemarakkan semangat perpaduan tanpa mengira agama, bangsa serta budaya.