Tempuh perjalanan 414km demi Himpunan Selamatkan Malaysia

Ahmad Lokman (belakang, kiri) bersama isteri dan anak-anak hadir Himpunan Selamatkan Malaysia pada Sabtu. Gambar kecil: Tengku Abdul Hadi dan Mohd Jais
Ahmad Lokman (belakang, kiri) bersama isteri dan anak-anak hadir Himpunan Selamatkan Malaysia pada Sabtu. Gambar kecil: Tengku Abdul Hadi dan Mohd Jais
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang remaja sanggup menempuh perjalanan sejauh 414 kilometer (km) semata-mata untuk hadir ke Himpunan Selamatkan Malaysia yang berlangsung pada Sabtu.

Pekerja swasta, Tengku Abdul Hadi Tengku Azahar, 21, berkata, dia menaiki bas secara bersendirian dari Terengganu jam 10 pagi, Jumaat sebelum tiba ke ibu kota jam 6.30 petang.

Dia kemudian bermalam di Masjid Jamek Kampung Baru selama sehari dan akan pulang ke kampung halaman sejurus himpunan tersebut selesai.

Tengku Abdul Hadi berkata, dia nekad menghadiri himpunan tersebut selepas terkesan dengan isu semasa membabitkan kes rasuah, salah guna kuasa dan kenaikan harga barang.

"Tidak salah rakyat luahkan pandangan seperti dilakukan ketika zaman reformasi dahulu.

"Saya puas hati lihat ramai rakyat keluar sokong demokrasi dan saya harap kerajaan ambil perhatian dengan suara rakyat pada hari ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, seorang kontraktor dari Batu Pahat, Johor, Ahmad Lokman Hakimi Ahmad Bahari, 34, menghadiri himpunan tersebut bersama isteri serta tiga anaknya berusia 10 hingga 12 tahun.

"Saya gerak dari rumah jam 11 malam tadi (Jumaat), bawa anak-anak sekali hadiri himpunan ini supaya mereka rasai sendiri perjuangan memelihara agama dan Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan yang ada sekarang tidak stabil dan tidak mengendahkan nasib rakyat terutama golongan bawahan. Kerajaan juga tidak memberikan contoh yang baik apabila janji dibuat sebelum ini tidak ditunaikan," katanya.

Dalam pada itu, usia tidak menghalang seorang pesara guru, Mohd Jais Othman, 66, dari Pasir Gudang, Johor untuk menghadiri Himpunan Selamatkan Malaysia.

Mohd Jais berkata, dia bersama lima rakan lain bergerak pada awal pagi Sabtu untuk hadiri himpunan itu bagi meluahkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan sekarang.

"Buang masa saja sokong zaman reformasi dulu apabila rakyat ditipu. Dulu bawa rakyat pejuang reformasi tapi sekarang apa pun tidak dibuat.

"Semua manifesto yang dijanjikan tidak dilaksanakan. Jika tak mampu buat semua patutnya buat ikut kemampuan sekurang-kurangnya nampak inisiatif tunaikan janji tersebut," luahnya.

Himpunan Aman Selamatkan Malaysia diadakan bagi membuat tiga tuntutan kepada kerajaan.

Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, antara tuntutan tersebut adalah meminta kerajaan mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Kedua, mendesak agar Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibebaskan daripada kuasa eksekutif, dan ketiga desakan undang-undang lebih adil kepada semua rakyat Malaysia.

Peserta himpunan berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum berjalan sejauh 1.2 kilometer ke pusat beli-belah Sogo.

Program bermula jam 2 petang dan berakhir jam 3.30 petang.