Juruterbang hubungi menara kawalan 2 minit sebelum data terakhir

Laluan penerbangan pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1 di landasan akhir. Gambar kanan: Titik impak nahas pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1.
Laluan penerbangan pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1 di landasan akhir. Gambar kanan: Titik impak nahas pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1.
A
A
A

SHAH ALAM - Juruterbang pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu ada menghubungi menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, pada jam 2.47 petang.

Laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendedahkan, kebenaran untuk mendarat di landasan 15 diberikan pada jam 2.48 petang dan tiada lagi transmisi radio didengar selepas itu.

“Data ADS-B menunjukkan bahawa selepas jam 2.47 petang, pesawat itu terbang pada ketinggian 2,600 kaki dan berdepan dengan pengurangan kelajuan dan penurunan.

“Jam 2.49 petang pada ketinggian 1,025 kaki, pesawat itu mula membelok ke kanan secara berterusan dengan bacaan terakhir berada pada ketinggian 550 kaki. Itu adalah penghantaran data terakhir yang direkodkan.

“Ground speed semasa pusingan kanan pesawat itu adalah antara 146 dan 154 knot sebelum terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam,” menurut laporan berkenaan yang dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.

Dalam kejadian pada 17 Ogos lalu, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas.

Seramai 10 mangsa terkorban dalam nahas itu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53.

Turut maut dalam kejadian itu ialah juruterbang, Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37; Khairil Azwan Jamaludin, 43; Shaharul Amir Omar, 49; Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.

Artikel Berkaitan:

Dua orang awam yang terkorban pula ialah penunggang p-hailing, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.