Nahas Elmina: Laporan akhir selesai Ogos tahun depan

Laporan akhir nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lalu, akan diselesaikan pada Ogos tahun depan. - Gambar fail
Laporan akhir nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lalu, akan diselesaikan pada Ogos tahun depan. - Gambar fail
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Laporan akhir nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu, akan selesai selewat-lewatnya pada Ogos tahun depan.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), ia selaras dengan standard Annex 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13) yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan tersebut untuk melengkapkan dokumen berkenaan.

“Hari ini, MOT telah menerima Laporan Awal (Preliminary Report) Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mengenai kemalangan udara yang melibatkan pesawat N28JV.

“Laporan Awal tersebut memenuhi standard Annex 13 kepada ICAO Annex 13 yang memerlukan penyediaan laporan awal dalam tempoh 30 hari daripada insiden tersebut.

“Laporan ini mengandungi pernyataan fakta dan penemuan awal yang telah ditentukan sehingga waktu penerbitan laporan ini. Laporan Awal ini harus dianggap sebagai tentatif, dan boleh diubah atau diperbetulkan jika terdapat maklumat dan bukti tambahan,” jelas kenyataan itu yang dikeluarkan pada Jumaat.

Kementerian juga merakamkan penghargaan kepada usaha teliti BSKU dan bertekad untuk memperkasakan keselamatan penerbangan berdasarkan penemuan biro.

“MOT juga berterima kasih kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat dan Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura atas bantuan yang diberi di dalam penyiasatan BSKU melalui Accredited Representative masing-masing dan penasihatpenasihat teknikal mereka, sama ada di dalam negara atau di luar negara.

“Sekali lagi, Kementerian Pengangkutan menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan tersebut melibatkan pesawat Beechcraft Model 390 Premier 1 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan terhempas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang.

Tragedi ini meragut 10 nyawa termasuk 8 penumpang dan krew di atas pesawat dan 2 pengguna jalan raya.