Nahas Elmina: Rakaman suara CVR 30 minit terakhir berjaya dimuat turun

 Anthony Loke - Foto Bernama
Anthony Loke - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rakaman suara kokpit (CVR) 30 minit terakhir sebelum pesawat Beechcraft 390 Premier 1 terhempas dua minggu lalu berjaya dimuat turun daripada 'memory puck' di sebuah makmal di Florida, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook enggan mendedahkan gambaran awal situasi yang berlaku sebelum nahas.

"Memang pihak Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) ada memberi sedikit rumusan tetapi saya tidak mahu buat apa-apa pengumuman atau spekulasi. Biarkan pakar membuat analisis terperinci," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Selasa.

Menurutnya, rakaman tersebut yang diperoleh pada Isnin hasil bantuan pengilang peralatan asal kokpit L3Harris berada dalam keadaan baik dan jelas.

""Ia telah pun dihantar semula kepada pasukan siasatan di Kuala Lumpur menerusi sistem e-mel yang selamat.

"Kita sudah memiliki rakaman suara terbabit di Malaysia walaupun ia tidak dibawa pulang secara fizikal kerana pasukan pakar yang berada di sana berdepan dengan taufan.

"Semua rakaman suara itu sedang dianalisis di makmal di sini untuk mendapatkan transkrip sebenar," katanya.

Ujar beliau, langkah itu bagi mengenal pasti punca nahas terbabit tanpa menunding jari terhadap mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"Laporan awal insiden berkenaan akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu akan datang dan akan disiarkan menerusi laman web kementerian," katanya.

Jelas Anthony, menerusi laporan yang akan dikeluarkan, sekiranya terdapat kelemahan di dalam sebarang aspek, pihak kementerian akan mengambil langkah perlu bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang.

"Pihak berkuasa termasuk syarikat pengeluar juga perlu mengambil langkah seperti dicadangkan di dalam laporan berkenaan," katanya.

Sebelum ini memory puck pesawat berkenaan telah dihantar ke Singapura namun gagal diekstrak.

Pesawat Beechcraft 390 Premier 1 dalam perjalanan dari Pulau Langkawi terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16 dua minggu lalu selepas mendapat kebenaran untuk mendarat jam 2.48 petang.

Nahas pesawat malang itu telah mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

ARTIKEL BERKAITAN:Nahas Elmina: CVR terbang ke AS, harapan 'terakhir' ekstrak data

Nahas Elmina: Peluang kenal pasti punca tipis

Gagal ekstrak data, CVR akan dihantar ke Amerika Syarikat

[VIDEO] Nahas Elmina: Kotak perakam suara kokpit hangus

Nahas Elmina: Ketua BSKU berlepas ke Florida analisa data 'memory puck'