Nahas Elmina: Dua juruterbang cukup rehat, tiada masalah kesihatan

Laporan awal nahas Elmina menyebut bahawa faktor kesihatan dan psikologi diketepikan sebagai punca nahas tersebut. - Gambar fail Awani
Laporan awal nahas Elmina menyebut bahawa faktor kesihatan dan psikologi diketepikan sebagai punca nahas tersebut. - Gambar fail Awani
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Laporan kesihatan melibatkan nahas pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1 berhampiran Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu mendapati, kedua-dua juruterbang mempunyai rehat yang cukup sebelum penerbangan berlepas dari Langkawi.

Mereka juga tidak mempunyai masalah kesihatan serius berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal, sekali gus mengenepikan faktor kesihatan dan psikologi sebagai punca nahas.

Berdasarkan laporan itu juga, juruterbang (PIC) iaitu Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang (SIC), Heikal Aras Abdul Azim, 45, memegang sijil perubatan yang sah dari Penerbangan Persekutuan Pentadbiran (FAA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“PIC berjaya memperoleh sijil perubatan kelas pertama dari FAA dan memenuhi piawaian penglihatan pada semua jarak yang diperlukan pada 24 Mac 2023. Beliau secara serentak memegang sijil perubatan CAAM yang sah dari 6 Disember 2022 hingga 31 Disember 2023.

“Semakan sijil perubatan dan sokongan dokumen menunjukkan bahawa PIC tiada kebimbangan perubatan yang signifikan dan menghadiri pemeriksa perubatan yang ditetapkan (DME).

“Berdasarkan sejarah dan pemeriksaan fizikal yang ada, juruterbang ini tidak mempunyai sejarah perubatan yang boleh menimbulkan bahaya yang signifikan kepada keselamatan penerbangan,” menurut laporan berkenaan yang dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.

Laporan kesihatan itu turut menyebut bahawa pembantu juruterbang juga berjaya memperoleh sijil perubatan kelas pertama dari FAA pada 24 Julai 2023 dan memegang sijil perubatan CAAM yang sah dari 15 September 2022 hingga 30 September 2023.

Semakan sijil perubatan dan sokongan dokumen juga menunjukkan bahawa tiada kebimbangan perubatan yang signifikan pada SIC dan beliau menghadiri DME bagi pemeriksaan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan sejarah yang ada dan pemeriksaan fizikal, juruterbang ini tidak mempunyai sejarah perubatan yang boleh menimbulkan bahaya besar kepada keselamatan penerbangan,” jelas laporan berkenaan.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas.

Seramai 10 mangsa terkorban dalam nahas itu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53.

Turut maut dalam kejadian itu ialah juruterbang, Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37; Khairil Azwan Jamaludin, 43; Shaharul Amir Omar, 49; Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.

Dua orang awam yang terkorban pula ialah penunggang p-hailing, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.