Banyak restoran halal, kenapa pilih meragukan?

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MINGGU ini status halal sebuah kedai nasi ayam claypot diusahakan pasangan suami isteri Muslim di Sri Petaling menjadi topik perbualan hangat di media sosial.

Kuasa tular menyebabkan restoran yang diusahakan pasangan Malaysia-Indonesia itu menjadi popular, susulan dakwaan penggunaan wain beras mengandungi alkohol sebagai bahan dalam penyediaan makanan tersebut.

Difahamkan pasangan berkenaan telah menjalankan perniagaan selama 28 tahun. Isu halal tersebut pernah tular, sebelum ia sekali lagi dibangkitkan baru-baru ini.

Walaupun menafikan penggunaan bahan terlarang itu, namun penularan dakwaan tersebut, selain ketiadaan sijil halal telah menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna Muslim.

Isu itu juga telah mendapat perhatian daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengesahkan kedai berkenaan tidak memiliki sijil halal.

Berdasarkan semakan di Portal Halal Malaysia, premis tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah dan pihak Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkenaan.

Susulan itu, Jakim menasihatkan pengguna Muslim untuk sentiasa berhati-hati dengan memastikan premis yang dipilih untuk menjamu selera adalah pemegang SPHM.

Ibrah daripada kes tersebut membuka mata pengguna tentang kepentingan semakan status sijil halal sebelum pengguna Muslim memasuki sesebuah premis makanan.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana Malaysia merupakan syurga makanan dan mempunyai lambakan restoran, dengan operasinya bukan hanya dikendalikan oleh orang tempatan tetapi juga orang luar.

Di luar negara terutama di negara bukan Islam, kita pastinya perlu menyemak kandungan bahan digunakan bagi memastikan makanan yang masuk ke perut adalah halal.

Namun, beruntungnya kita tinggal di Malaysia kerana mempunyai pihak berkuasa yang mengawal selia aspek pensijilan halal, malah turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Sijil halal memudahkan kita untuk merujuk status sesebuah restoran yang beroperasi kerana ada antara pemiliknya bukan beragama Islam, selain restoran berstatus worldwide.

Bagaimanapun, status sijil halal seolah-olah dipandang sebelah mata oleh sesetengah pengguna yang sibuk mengejar trend mahu mencuba makanan tular tanpa mengendahkan soal hukum halal haram.

Cukup jika peniaga bertudung atau ‘orang Melayu’, pengguna jadi yakin makanan tersebut adalah halal sedangkan kita tidak tahu bahan yang digunakan mungkin tiada logo halal atau diimport dari luar negara.

Berbalik kepada kisah nasi ayam claypot, langkah pengusaha berkenaan mahu mendapatkan sijil halal selepas status kedainya menjadi keraguan dilihat sebagai langkah yang positif.

Pengusaha itu, Ahmad Muzakin Mohd Amir, 48, yang mempunyai lesen perniagaan secara sah dalam perancangan membuat permohonan sijil halal Jakim dan telah mengikuti kursus berkenaan.

Walaupun beragama Islam, namun sijil halal diperoleh kelak mampu mengembalikan keyakinan pengguna untuk menyokong perniagaan pasangan tersebut yang merupakan mata pencarian mereka sekeluarga.

Periuk nasi mereka terganggu ekoran timbul perasan was-was dalam kalangan pengguna selepas dakwaan penggunaan wain beras tersebut tular.

Soal benar atau tidak, hanya pengusaha berkenaan dan ALLAH SWT yang tahu, namun sebagai pengguna, kita sepatutnya perlu sentiasa peka.

Kita telah diberikan garis panduan sijil halal yang boleh dijadikan rujukan. Jika ramai yang mementingkan aspek tersebut, penulis yakin lebih ramai pengusaha makanan sanggup mengeluarkan modal lebih untuk memohon sijil halal.

Menetap di Malaysia bukan jaminan semua makanan dijual adalah halal. Walaupun pemilik Islam, namun pekerjanya belum tentu beragama Islam terutama yang berstatus pekerja asing.

Begitu juga sebaliknya, ada antara premis menggunakan pekerja Islam untuk memberikan keyakinan aspek halal, sedangkan kita sendiri tidak pasti kemungkinan bahan-bahan masakan digunakan tidak halal.

Justeru, sebagai pengguna sikap waspada perlu sentiasa ada dalam hati. Tidak salah menjadi seorang yang cerewet demi memastikan makanan yang dimakan menggunakan sumber halal.

Peniaga pula perlu ada sifat tanggungjawab. Tidak boleh ambil jalan mudah demi keuntungan. Perlu ada inisiatif mendapatkan sijil halal bagi memastikan makanan yang dijual selamat kepada pengguna Muslim.

* Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Selangor/KL