Masyarakat Islam perlu berhati-hati memilih makanan, minuman

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Wan Salim
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Masyarakat Islam dinasihatkan berhati-hati dalam pemilihan makanan dan minuman terutamanya yang dijual di premis makanan agar tidak melanggar hukum yang ditetapkan syarak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam melarang penganutnya minum semua minuman yang memabukkan dan makanan yang tidak halal.

"Saya bersetuju dengan pihak yang menekankan bahawa masyarakat Islam perlu berhati-hati dalam hal ehwal berkaitan makan dan minum. Mereka juga perlu cakna tentang apa yang boleh dimakan dan diminum berdasarkan hukum yang ditetapkan syarak.

"ALLAH SWT melarang seorang Muslim meminum segala minuman yang memabukkan. Hukumnya sama dengan arak yang diharamkan menerusi nas-nas al-Quran dan hadis.

"Justeru, setiap orang Muslim tidak wajar menjamah makanan atau minuman di mana-mana restoran atau premis yang tidak mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama di negara ini iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah beliau, pihak berwajib perlu memberi penerangan mengenai hukum haram yang melibatkan setiap bahan yang memabukkan.

"Mana-mana orang Islam yang memakan atau meminum bahan yang nemabukkan akan dikenakan hukuman mengikut peruntukan sedia ada di dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri.

"Saya cadangkan mana-mana premis yang menyajikan arak dan apa juga bahan yang memabukkan, mereka hendak lah memaparkan notis yang menyatakan bahawa orang Islam tidak dibenarkan memasuki premis tersebut," kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Wan Salim menambah, umat Islam perlu tahu bahawa jenis tuak yang haram tidak termasuk tuak yang menjadi minuman tradisional dalam kalangan masyarakat Islam di Kelantan dan Trengganu.

"Minuman berkenaan dipanggil nira di negeri-negeri barat Semenanjung Malaysia.

"Bagaimanapun, tuak yang sering diminum oleh masyarakat Dayak di Sarawak adalah haram diminum oleh penganut agama Islam," katanya.

Sebelum ini, premis yang diusahakan suami isteri Muslim di Sri Petaling, Selangor tular di media sosial dan dikunjungi orang ramai, namun pendedahan beberapa individu mengenai bahan didakwa tidak halal digunakan pasangan itu meragukan masyarakat.

Premis makanan tersebut dikatakan menggunakan 'rice wine' atau wain beras dalam masakan, yang menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis berkenaan.

Susulan daripada itu, Jakim dalam kenyataan di Facebooknya mengesahkan bahawa premis nasi ayam claypot itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), berdasarkan kepada semakan menerusi Portal Halal Malaysia.

Jakim turut mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis terbabit.

Difahamkan, premis berkenaan ketika ini sudah ditutup sementara susulan penularan isu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nasi ayam claypot tular tiada sijil halal - Jakim