Peniaga makanan jangan buat main soal halal haram

Tular peniaga nasi ayam claypot di sebuah restoran didakwa menggunakan bahan tidak halal dalam masakannya.
Tular peniaga nasi ayam claypot di sebuah restoran didakwa menggunakan bahan tidak halal dalam masakannya.
A
A
A

BARU-BARU ini, heboh isu seorang peniaga nasi ayam claypot di sebuah restoran di Selangor yang didakwa menggunakan bahan tidak halal dalam masakannya.

Peniaga tersebut sebelum ini tular di media sosial apabila seorang pempengaruh membuat ulasan positif.

Dia mendakwa makanan yang biasanya dimakan masyarakat Cina itu dijadikan versi halal oleh peniaga tersebut supaya pelanggan Muslim dapat menikmatinya.

Kesan ulasan pempengaruh tersebut, ramailah pelanggan Muslim datang untuk menikmatinya.

Isu menjadi panas apabila ada pengguna media sosial mendakwa peniaga tersebut menggunakan wain dalam masakannya. Bahan itu bagaimanapun ditukar kepada minyak bijan sebaik sahaja ia tular.

Merak Jalanan tidak pasti sama ada benar atau tidak dakwaan tersebut, tetapi disebabkan pembongkaran itu, restoran berkenaan dikatakan ditutup sementara.

Sehinggalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis terbabit.

Bagi Merak Jalanan, sekiranya benar bahan tidak halal digunakan dalam masakan, perbuatan peniaga tersebut tidak boleh diterima.

Berapa ramailah pelanggan Muslim yang sudah termakan makanan tidak halal di kedainya selama ini. Bagaimanapun, dari satu sudut lain, Merak Jalanan meletakkan kesalahan kepada pelanggan kerana tidak berhati-hati dalam memilih restoran.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan perhatikan, ramai masyarakat Muslim sekarang ambil ringan apabila masuk ke restoran tanpa memeriksa terlebih dahulu sijil halal.

Dari satu lagi sudut, Merak Jalanan perhatikan masyarakat sekarang 'gelojoh' dengan makanan dipromosikan pempengaruh di media sosial.

Pantang tular, berduyun-duyunlah datang dari jauh walaupun sebenarnya tidak sesedap mana pun.