Pemuda PN anjur Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia Sabtu ini

Ahmad Fadhli (duduk, tiga dari kanan) mengetuai sidang akhbar berkenaan himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia yang dijadual berlangsung di hadapan Kompleks Sogo pada Sabtu depan.
Ahmad Fadhli (duduk, tiga dari kanan) mengetuai sidang akhbar berkenaan himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia yang dijadual berlangsung di hadapan Kompleks Sogo pada Sabtu depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Kompleks Sogo pada Hari Malaysia, Sabtu depan.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kempen dijadual bermula jam 2 petang itu bertujuan untuk membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes pelepasan pertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, kempen akan dimulakan di lokasi berkenaan sebelum diteruskan ke siri jelajah seluruh negara yang akan diumumkan kelak.

"Kita akan himpunkan segenap anak muda yang sayangkan negara dengan memakai baju putih sebagai lambang cintakan negara dan membawa bendera Malaysia.

"Ini merupakan langkah pertama sebelum diadakan tindakan ke Dewan Rakyat membabitkan usul tergempar bagi permohonan membahaskan pelepasan kes Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota pada Ahad.

Turut hadir wakil NGO Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che'gu Bard.

Sementara wakil rakyat yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Afif Bahardin; ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya tidak meletakkan sasaran jumlah peserta yang bakal menghadiri himpunan itu, namun menjemput semua pihak termasuk ahli politik dan individu yang cintakan negara untuk turut serta.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin jika tiada halangan daripada pihak berkuasa, kita mampu menghimpunkan peserta seramai mungkin, namun kita tidak fokus kepada angka peserta tetapi keutamaan kita bagi memberi kesedaran rakyat untuk bergerak selamatkan Malaysia.

"Kita jemput semua NGO tidak terkecuali parti-parti daripada kerajaan seperti DAP, Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia), UMNO dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), jika nak hadir kami alu-alukan," ujarnya.

Beliau pada masa sama memaklumkan akan berbincang dengan pihak berkuasa serta memastikan perhimpunan tersebut akan mengikut saluran undang-undang.

"Bagaimanapun saya yakin, kerajaan refomasi yang ada hari ini tidak ada alasan untuk tolak kerana mereka pun lahir daripada jalan raya kecuali jika mereka sudah berubah.

"Setakat ini tidak akan ada perarakan cuma diadakan himpunan sebagai permulaan dan diteruskan pada siri jelajah yang perkembangan tersebut akan diumumkan dari masa ke masa," katanya.