PAC gesa kerajaan percepat proses menyahklasifikasi projek tukar tanah MINDEF

Mas Ermieyati (tengah) ketika sidang akhbar PAC di bangunan Parlimen pada Khamis
Mas Ermieyati (tengah) ketika sidang akhbar PAC di bangunan Parlimen pada Khamis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mempercepatkan proses menyahklasifikasi Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung Projek Tukar Tanah melibatkan Kementerian Pertahanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan, JKSSTUPKK telah membentangkan laporan berkenaan kepada PAC Parlimen ke-14 pada 2 April 2019 dan 16 November 2020.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut menyuarakan kebimbangan memandangkan kerajaan telah kerugian lebih RM 500 juta selain kedudukan strategik pertahanan terjejas.

"Selepas laporan JKSTUPKK Tukar Tanah ini dinyahklasifikasi, PAC akan memulakan prosiding berhubung isu ini bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar," katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati memaklumkan, PAC sudah menuntut jawapan daripada kerajaan khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkenaan penyahklasifikasi JKSTUPKK pada 13 Jun lalu.

Sehubungan itu, PAC sudah menerima surat maklum balas daripada Azalina pada 27 Jun dan surat itu memaklumkan perkara berkenaan akan diteliti dan disemak oleh Jabatan Peguam Negara sebelum apa-apa keputusan dibuat kerajaan.

Namun selepas hampir tiga bulan, beliau berkata, kerajaan masih belum memaklumkan kepada PAC sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, PAC akan memanggil Kementerian Pertahanan pada 3 Oktober depan bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan projek pembinaan kapal tempur persisir (LCS) bagi bulan Jun sehingga Ogos 2023.

Artikel Berkaitan:

"Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, PAC Parlimen ke-15 akan mendapat taklimat setiap tiga bulan daripada MINDEF berhubung kemajuan kapal LCS.

"Sebelum ini, PAC telah mendengar perkembangan berhubung projek itu bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 pada 10 Jun lalu," jelasnya.