Nelayan bantah cadangan projek kolam udang di Kuala Juru

Komuniti nelayan dan penduduk Kampung Kuala Juru membuat bantahan berikutan pencerobohan tanah LKIM yang berlaku pada Ogos lalu.
Komuniti nelayan dan penduduk Kampung Kuala Juru membuat bantahan berikutan pencerobohan tanah LKIM yang berlaku pada Ogos lalu.
A
A
A

JURU - Komuniti nelayan dan penduduk Kampung Kuala Juru dekat sini membantah pencerobohan tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang telah dijanjikan untuk dibangunkan perumahan nelayan sejak 25 tahun lalu.

Tindakan pencerobohan itu dikesan oleh penduduk pada 21 dan 22 Ogos lalu selepas mendapati dua jentolak masuk ke kawasan terbabit dengan melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan seluas 10.9 hektar yang dikatakan untuk dibangunkan projek ternakan udang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Kuala Juru, Wahid Othman berkata, penduduk kesal dengan cadangan membangunkan projek ternakan udang di tanah lot 1508 itu sedangkan mereka sudah sekian lama menantikan projek perumahan yang dijanjikan kerajaan khusus untuk nelayan kawasan terbabit dan penduduk di sekitar Juru.

"Janji untuk membangunkan projek perumahan penempatan nelayan ini dibuat pada 1998 malah RM500,00 juga telah diluluskan ketika itu untuk projek infrastruktur awal seperti penanda, kajian dan sebagainya.

"Kami di sini sejak dahulu lagi tidak bersetuju dengan sebarang cadangan untuk membangunkan projek ternakan udang atau ikan sebaliknya mahu projek penempatan nelayan didirikan kerana ia amat diperlukan oleh komuniti nelayan di sini,"katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Juru, di sini pada Isnin.

Wahid berkata, berikutan tindakan pencerobohan itu pihaknya telah membuat aduan kepada pihak berkaitan terutamanya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas mendapati perlaksanaan projek tersebut tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya hanya dimaklumkan menerusi sepucuk surat mengenai cadangan projek membina kolam udang itu baru-baru ini, namun dalam surat berkenaan menyatakan ia hanya untuk proses membuat kajian.

"Kalau hanya untuk membuat kajian sudah tentu mereka masuk ke kawasan itu dengan tidak membawa jentolak, tetapi apa yang jadi mereka bawa dua buah jentolak sekali untuk membersihkan kawasan tanah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap pihak kerajaan khususnya LKIM terus mempertahankan tanah perumahan yang dijanjikan sejak 25 tahun lalu yang diputuskan dalam mesyuarat..Minit dan laporan mesyuarat itu masih saya simpan sehingga hari ini," jelasnya.

Wahid (dua dari kiri) menunjukkan kesan kerja-kerja pembersihan yang dilakukan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Wahid (dua dari kiri) menunjukkan kesan kerja-kerja pembersihan yang dilakukan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Pegawai Luar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Yusuf menggesa LKIM untuk melaksanakan segera projek perumahan nelayan yang telah tertangguh itu sejak sekian lama.

Katanya, CAP kesal walaupun rancangan pembinaan projek itu telah lama diluluskan, namun hingga sekarang nelayan-nelayan di sini yang memerlukan rumah sendiri terutama mereka yang sudah berkahwin dan berkeluarga masih menunggu bagi mendapatkannya.

Tegasnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makananan, kerajaan Pulau Pinang, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan serta agensi yang terlibat perlu menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.

"CAP menegaskan bahawa nelayan-nelayan Kampung Kuala Juru yang sudah berkahwin dan berkeluarga berhak mendapatkan keperluan asas tersebut dan projek perumahan di sini perlu dilaksanakan segera untuk mereka.

"CAP turut membantah bersama penduduk-penduduk kampung ini jika kawasan yang telah diluluskan untuk tersebut dijadikan tapak projek ternakan udang kerana ia bukan saja melanggar keputusan pihak berkenaan dengan penduduk-penduduk di sini tetapi juga akan mengancam alam sekitar dan kawasan ternakan kerang seluas 100 ekar dilaut berhampiran.

"CAP percaya jika berlaku pencemaran sisa buangan dari kolam ternakan udang, kerang yang diternak oleh nelayan-nelayan di sini mungkin mati dan mereka akan mengalami kerugian besar serta terputus mata pencarian untuk menyara kehidupan keluarga,"katanya lagi.

ENDS