Kedah setuju dasar larangan eksport REE

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (duduk, tengah) bergambar dengan peserta selepas Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK, Batu 17, Padang Lumat, di sini pada Rabu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (duduk, tengah) bergambar dengan peserta selepas Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK, Batu 17, Padang Lumat, di sini pada Rabu.
A
A
A

YAN - Kerajaan Kedah bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE) yang dilihat mampu memajukan lagi negara terutamanya Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri turut bersedia untuk menawarkan beberapa tapak kawasan perindustrian di Kedah sebagai tapak pembinaan kilang REE itu.

Beliau menambah, tiga kawasan industri sederhana dan berat yang sedia ada telah dikenal pasti bersesuaian untuk pembangunan industri itu.

"Kita sudah tawarkan beberapa kawasan tapak industri kita untuk pembinaan kilang REE di Gurun (Kuala Muda), Padang Meha dan Sungai Ular (Kulim). Kita ada tapak kawasan tanah-tanah industri milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan swasta untuk bangunkan kilang REE di sini.

“Kita setuju dan berterima kasih di atas pengumuman dasar-dasar itu. Kawasan ini dipilih berdasarkan kedudukannya yang strategik. Bila kerajaan ada keputusan macam itu, mahu tak mahu teknologi akan berpindah masuk ke sini," katanya.

Sanusi berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK, Batu 17, Padang Lumat, di sini pada Rabu.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas tentang pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan membangunkan dasar tersebut bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber REE sekali gus menjamin pulangan yang maksimum kepada negara ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) pada Isnin lepas.

Sanusi berkata, kerajaan negeri menyambut baik dan menyokong cadangan Kerajaan Persekutuan terbabit, malah bersedia menunggu ia direalisasikan walaupun mungkin mengambil masa.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri sebenarnya pernah membangkitkan cadangan sama termasuklah membuka kilang REE di Kedah sejak setahun lalu.

“Itu juga hasrat kerajaan negeri. Sebelum, Perdana Menteri umum. Saya sudah umum setahun dahulu hasrat kita nak kilang buka di sini tahun lepas. Sebab itu, kita lambat sikit, Tak apa, tak apa. Kita tak kalut, yang kalut yang curi REE itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kongsi Sanusi, kerajaan negeri sehingga kini telah mendapat penawaran pelaburan dari sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang berasaskan REE.

“Syarikat ini menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam menjadikan Kedah sebagai hab pemprosesan akhir produk mereka khususnya bagi pasaran Asia, Eropah dan Asia Barat.

“Dengan ini kerajaan negeri turut mempelawa syarikat-syarikat sama ada dalam dan luar negara yang berminat bagi membina kilang pemprosesan REE di Kedah,” katanya.