Polis Kelantan rampas dadah bernilai lebih RM800,000

Muhamad Zaki menunjukkan pil kuda yang dirampas ketika Ops Tapis Bersepadu.
Muhamad Zaki menunjukkan pil kuda yang dirampas ketika Ops Tapis Bersepadu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM878,418 dan menyita harta dianggarkan RM44,491 melalui Ops Tapis Bersepadu dalam tempoh lapan hari operasi itu.

Operasi yang bermula pada 5 September itu turut menahan 412 individu membabitkan 344 kes atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 152 dan Akta Racun (AR) 1952.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua tangkapan berusia antara 16 hingga 63 tahun termasuk 16 warga asing.

"Rampasan paling banyak dilakukan ialah di Tanah Merah Sabtu lalu iaitu melibatkan 36,000 pil kuda dengan nilai RM396,000," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, dalam kes tersebut polis menahan seorang lelaki yang juga penganggur berusia 28 tahun dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan.

Menurut Muhamad Zaki, polis juga menahan tiga lelaki pada Isnin minggu lalu dalam sebuah kereta dalam kejadian di Jal Kechil, Tumpat.

Jelasnya, penahanan suspek yang berusia antara 20 hingga 27 tahun itu membawa kepada penemuan 30,006 biji pil kuda dalam sebuah rumah di Kampung Binjal, Chabang Empat, Tumpat.

"Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan positif methamphetamin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Zaki berkata, kesemua kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B ADB yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

"Polis akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"Kita berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan dadah yang berlaku di kawasan mereka dengan menghubungi talian hotline 012-2087222 dan Pusat Kawalan IPK Kelantan di talian 09-7455555," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!