Lagi pesara kena scam, rugi lebih RM800,000

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Seorang pesara kerugian RM845,450 apabila terpedaya dengan penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis dalam kejadian pada 9 Mei lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ketika kejadian mangsa berada di rumah menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai 'pegawai LHDN' sebelum disambung kepada dua orang 'pegawai polis' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Menurutnya, mangsa yang berusia 74 tahun itu dimaklumkan pada awalnya mempunyai tunggakan cukai syarikat kemudian dipercayai kononnya mempunyai rekod terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram.

"Dalam percakapan telefon, suspek ketiga yang bergelar 'Datuk' telah mengarahkan mangsa untuk mengikut arahannya dan melaporkan maklumat akaun bank serta pergerakan dari semasa ke semasa kepada suspek.

"Atas arahan suspek, pengadu telah membuat pemindahan wang sejumlah RM845,450 melalui mesin deposit tunai (CDM) secara berperingkat ke dalam 14 akaun bank atas pelbagai nama dari 10 Mei 2023 sehingga 19 Mei 2023, kononnya untuk tujuan semakan," katanya kepada dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, tidak cukup dengan itu, suspek juga memberi tempoh sebulan kepada mangsa untuk menjual rumahnya bagi tujuan semakan dan mengarahkan mangsa supaya tidak memaklumkan perkara ini kepada pihak ketiga.

Bagaimanapun, penipuan itu akhirnya terbongkar selepas mangsa meminta rakannya untuk mencari ejen bagi penjual rumah tersebut bagi urusan berkenaan.

Beliau berkata, sehubungan itu kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd Yusri menggesa orang ramai sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon yang mencurigakan, khususnya panggilan telefon yang kononnya daripada pegawai agensi kerajaan.

Menurutnya, orang awam boleh menghubungi talian Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan dan baru membuat transaksi ke akaun keldai manakala, sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, boleh berhubung di infoline di talian 013-2111222 menerusi aplikasi WhatsApp.

Selain itu orang ramai juga boleh menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mungkin terlibat dalam kes penipuan melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my.