24 ditahan, dadah bernilai RM80,000 dirampas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM80,000 dan menyita harta dianggarkan RM16,000 melalui Ops Tapis Khas dalam operasi dua hari di daerah Jempol.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, operasi pada 6 dan 7 September itu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman.

Menurutnya, seramai 124 individu ditahan merangkumi kategori bekalan, memiliki dadah, penyalahgunaan dadah dan penagihan dadah.

"24 suspek daripada jumlah itu melibatkan kategori bekalan iaitu mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A (1) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seramai 12 suspek pula ditangkap mengikut Seksyen 12(3) serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana memiliki dadah," katanya pada Rabu.

Katanya, tangkapan paling banyak adalah membabitkan penyalahgunaan dadah dan penagihan dadah iaitu sebanyak 88 tangkapan.

"Polis juga mengambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985 serta Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada 28 suspek.

"Selain itu, polis berjaya merampas 123.02 gram heroin, 415.02 ketamin, 73.33 gram ganja, 37.5 liter air ketum, 0.120 liter cecair ganja, 1.6 gram pil erimin 5 dan syabu seberat 2.04 gram.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM80,000 manakala sitaan aset milik pengedar berjumlah RM16,000," katanya.

Sementara itu, Ahmad Dzaffir berkata, bagi tempoh Januari sehingga 10 September lalu, seramai 132 pengedar dan 3,241 penagih berjaya ditangkap di seluruh Negeri Sembilan.

Katanya polis amat serius dalam misi membanteras dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan kepada pengedar dadah yang bergiat aktif di seluruh negeri ini seterusnya melumpuhkan ekonomi pengedar berkenaan dengan menyita aset yang dimiliki.