Seludup minyak masak bersubsidi dalam 'tong kimia'

Azman (kiri) memberi contoh minyak masak peket yang akan diisi ke dalam tong berwarna kelabu.
Azman (kiri) memberi contoh minyak masak peket yang akan diisi ke dalam tong berwarna kelabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya membongkar kegiatan licik seorang wanita warga emas mengisi semula minyak masak bersubsidi ke dalam tong-tong berpelekat bahan kimia dipercayai bertujuan diseludup ke negara jiran di Cherang Tuli, Padang Pak Amat, Pasir Puteh pada Selasa.

Suspek yang berusia 65 tahun itu ditahan dalam Ops Mencegah Ketirisan Barang Kawalan di sebuah bengkel lori pada jam 2 petang.

Dalam serbuan itu, sebanyak 2,308 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dirampas selain 240kg gula turut ditemukan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, kegiatan itu diketahui susulan kejadian kenderaan penyeludup yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun terbalik bersama 1,348 peket minyak masak di Pasir Mas pada Isnin.

Azman (tengah) menunjukkan peralatan yang digunakan suspek dalam kegiatan dipercayai penyeludupan minyak masak di Pasir Puteh.
Azman (tengah) menunjukkan peralatan yang digunakan suspek dalam kegiatan dipercayai penyeludupan minyak masak di Pasir Puteh.

Katanya, hasil siasatan suspek lelaki tersebut menunjukkan lokasi dia mengambil bekalan minyak masak berkenaan di kawasan di Pasir Puteh terbabit dan pasukan menjalankan serbuan untuk pemeriksaan.

“Ketika diserbu, suspek sedang leka membuka peket-peket minyak masak sekilogram dan menuang minyak itu ke dalam tong berwarna kelabu berkapasiti 25 liter atau seberat 30 kilogram sebelum dipasarkan ke industri atau disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

“Tong-tong yang digunakan itu pula didapati ada pelekat bahan kimia iaitu Glacial Acetic Acid yang dipercayai bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di stor KPDN di Padang Tembak di Pengkalan Chepa di sini, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal suspek wanita terbabit mengaku aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek lelaki terdahulu yang ditangkap dalam kejadian kereta terbalik itu pula juga dipercayai ialah ahli sindiket yang sama dan saling berkaitan.

“Kesemua minyak masak dan gula tersebut dirampas dan dianggarkan berjumlah RM46,454.

“Turut ditemukan, pelbagai peralatan yang digunakan suspek iaitu corong plastik, gunting dan alat penimbang,” ujar beliau.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pertuduhan di mahkamah.

“Sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua bagi individu,” katanya.