Portfolio menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diisi segera

Anwar pada majlis Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran di Putrajaya pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar pada majlis Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran di Putrajaya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat memberi bayangan portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam Kabinet akan diisi secepat mungkin.

Beliau yang ditemui selepas majlis Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran di sini berkata, jawatan itu akan diisi selepas beberapa pertimbangan dibuat.

"Insya-ALLAH, kita akan isi kekosongan. Kalau ada cadangan sila tulis surat kepada saya secepat mungkin... saya pertimbangkan,” katanya ketika ditanya perkembangan portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berikutan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada malam 23 Julai lepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ketika ini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengenai saranan agar beliau memberi penjelasan di Dewan Rakyat isu keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan mahkamah, Anwar berkata: ‘Mungkin, Insya-ALLAH.’

Semalam, media melaporkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menggesa Anwar memberi penjelasan di Dewan Rakyat mengenai keputusan DNAA pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri akan datang.

Pada 4 September lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Artikel Berkaitan:

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan. - Bernama