Pesara tentera zahir patriotisme lukis potret PM sebagai koleksi

Ridzwan menunjukkan koleksi lukisan potret yang dihasilkannya di kedai gunting rambut miliknya di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan. - Foto: Bernama
Ridzwan menunjukkan koleksi lukisan potret yang dihasilkannya di kedai gunting rambut miliknya di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan. - Foto: Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang pesara tentera menzahirkan semangat patriotisme dengan menghasilkan lukisan potret Bapa Kemerdekaan dan sembilan Perdana Menteri yang lain sebagai koleksi peribadi dan turut mendapat tempahan daripada pelanggan di Kampung Bertam Baru, dekat sini.

Sarjan Bersara Ridzwan Abdul Wahab, 44, yang memiliki sebuah kedai gunting rambut menyediakan satu ruangan kecil di dalam premis berkenaan sebagai bengkel melukis ketika menunggu kunjungan pelanggan.

Ridzwan tekun merujuk gambar yang dihantar pelanggan untuk dilakarkan sebagai lukisan potret berwarna di kedai gunting rambut miliknya di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan. - Foto: Bernama
Ridzwan tekun merujuk gambar yang dihantar pelanggan untuk dilakarkan sebagai lukisan potret berwarna di kedai gunting rambut miliknya di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan. - Foto: Bernama

Beliau yang mula melukis sejurus selepas bersara daripada perkhidmatan pada 2010, telah menghasilkan 1,500 lukisan manakala inisiatif melakarkan potret Perdana Menteri dimulakan pada lima tahun lepas.

"Pada awalnya saya melukis potret Perdana Menteri bermula dengan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, disusuli lukisan Perdana Menteri yang lain sebagai koleksi peribadi, tetapi jika ada yang berminat saya akan menjualnya.

"Saya berbangga menghasilkannya kerana mereka semua ialah pemimpin negara dan berasa sangat dekat di hati, jadi saya akan mengabadikan wajah pemimpin ini setiap kali terdapat Perdana Menteri yang baharu. Setakat ini, memang ada pelanggan yang menempah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bertam Baru, baru-baru ini.

Ridzwan berkata, tempoh menyiapkan sesebuah lukisan bukan hanya bergantung kepada saiz, sebaliknya jenis bahan yang digunakan turut memainkan peranan.

Artikel Berkaitan:

Ridzwan menunjukkan antara karyanya yang diabadikan di luar kedai gunting rambut miliknya di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan. - Foto: Bernama
Ridzwan menunjukkan antara karyanya yang diabadikan di luar kedai gunting rambut miliknya di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan. - Foto: Bernama

"Satu lukisan hitam putih biasanya dapat disiapkan dalam masa sehari, namun bagi lukisan berwarna ia bergantung kepada keadaan kerana saya bekerja. Kalau waktu cuti saya hanya perlukan sehari untuk siapkan lukisan saiz kecil dan sederhana tetapi untuk saiz besar seperti potret keluarga memerlukan masa dua hingga tiga hari kerana agak rumit.

"Saya mengambil upah pada kadar RM50 untuk lukisan hitam putih dan daripada RM100 hingga RM200 bagi lukisan berwarna," katanya yang menjualnya bersekali dengan bingkai mengikut saiz dan jenis ukiran.

Beliau berkata tempahan juga banyak diterima daripada media sosial yang digunakannya sebagai platform pemasaran menerusi Tiktok @sarjanwan576 dan Facebook Ridzwan Wahab. - Bernama

l