Pas terkejut pempetisyen PRU15 Gua Musang pecat peguam

Takiyuddin semasa sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu pada Selasa.
Takiyuddin semasa sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui terkejut apabila pempetisyen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Gua Musang memecat barisan peguamnya yang mengendalikan kes berkenaan pada Selasa.

Takiyuddin selaku ketua barisan peguam yang mewakili Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, perkara tersebut hanya diketahui pihaknya pagi tadi semasa mahu mengendalikan kes berkenaan.

"Apabila mahkamah menerima pemakluman ini, mahkamah telah membuat keputusan bahawa barisan peguam (pempetisyen) tidak lagi mempunyai kelayakan mewakili pempetisyen.

"Apabila Mahkamah Pilihan Raya memanggil pempetisyen, dia tidak hadir dan pecat barisan peguam. Atas kapasiti itu pihak kami memohon mahkamah untuk membatalkan petisyen tersebut," katanya semasa sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Selasa.

Menurut beliau, atas permohonan itu mahkamah membatalkan petisyen ke atas Ahli Parlimen Gua Musang pada Selasa.

Ujarnya, disebabkan pembatalan oleh pihak pempetisyen mahkamah telah memberikan kos sebanyak RM80,000 kepada responden.

Media pada Selasa melaporkan, seorang pengundi Barisan Nasional (BN) gagal mencabar kemenangan calon Pas, Mohd Azizi bagi Parlimen Gua Musang pada PRU15 lalu selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan petisyen yang difailkannya.

Hakim Datuk Amarjeet Singh yang bertindak selaku Hakim Pilihan Raya membatalkan petisyen yang difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood mewakili calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Beliau memutuskan demikian selepas Mohd Azmi selaku pempetisyen memecat pasukan peguam daripada dua firma guaman yang mewakilinya termasuk Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada wakil media oleh peguam Yusfarizal Yussof yang mewakili calon Perikatan Nasional (PN), Azizi Abu Naim (responden) yang memenangi kerusi Parlimen Gua Musang.