Sediakan zon uzur puasa

A
A
A

DI PASAR RAYA, kita telah sediakan zon makanan tak halal bagi penganut-penganut agama lain. Bahkan kita sediakan zon merokok bagi rakyat multibudaya termasuk Muslimin yang merokok walaupun sebenarnya merokok itu sudah difatwakan haram.

Mengapa tidak sediakan 'zon uzur'? Terdapat uzur yang haram berpuasa seperti perempuan sedang haid. Ada uzur yang mewajibkan seseorang itu berbuka puasa seperti sakit yang membawa dehidrasi yang membahayakan nyawa.

Islam ada branding wacana dan imej tersendiri. Dakwah bukan sekadar dialog antara agama iaitu usaha untuk menang hujah. Menang hujah tidak semestinya menang hati. Bahkan mungkin akan menimbulkan rasa dendam bagi yang tewas.

Al-Quran tidak meletakkan dialog antara agama, khususnya debat, sebagai default strategy atau strategi utama dalam dakwah. Contohnya Surah 16: 125, “serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

Fakhruddin Ar-Razi telah menimbulkan persoalan tentang ayat ini dari segi susunan bahasanya. Mengapa kedua-dua strategi dakwah iaitu hikmah dan nasihat diungkapkan dalam bentuk Kata Nama tapi berbahas dalam Kata Kerja?

Maknanya mengapa ayat al-Quran berbunyi “Berbahaslah” (jaadil) dalam Kata Kerja, bukan berbunyi “Dengan Perbahasan” (bil-mujaadalah) dalam Kata Nama?

Ar-Razi menafsirkan ini sebagai tanda bahawa dakwah secara perbahasan itu diikat dengan syarat bahawa ia wajib dilaksanakan dengan cara yang paling baik. Penafsiran ini membawa isyarat penting tentang potensi positif dan negatif perbahasan.

Perbahasan atau dialog antara agama bukan cara default walaupun ia adalah penting bila Islam dicabar untuk berdebat atau untuk penjelasan demi elak salah faham. Cara default ialah seru dengan hikmah dan nasihat yang baik.

Artikel Berkaitan:

Salah satu cara hikmah paling updated ialah Fiqh Komunikasi Silang Budaya (Intercultural Communication). Konsep komunikasi adalah lebih luas daripada sekadar dialog kerana komunikasi melibatkan penyampaian maklumat secara lisan dan bukan lisan.

Secara ringkasnya, ia adalah pembinaan branding agama iaitu pembinaan imej agama yang perlu ditanam berulang-ulang dalam minda rakyat.

Apakah branding Islam? Agama hudud dan hukuman, agama sebat lesbian, agama makanan halal tapi tidak tayyib, agama seleweng duit Tabung Haji, agama hanya untuk syurgawan, agama satu bangsa sahaja, Islam itu parti Islam, agama taksub ulama?

Saya setuju tindakan diambil ke atas mereka yang tidak berpuasa dan sanggup makan di restoran tanpa sebab uzur syarak. Tetapi apabila heboh dengan gambar-gambar serbuan ke atas yang tak berpuasa ditularkan, apakah branding Islam yang disampaikan?

Bayangkan berapa ramai rakyat marhaen termasuk orang Islam sendiri yang benar-benar faham Islam. Kalau majoriti jahil, apa gambaran mereka terhadap Islam. Islam agama yang menyusahkan atau rahmatan lil-’aalamiin?

Jangan rasa terkejut jika rakyat multibudaya melabel Islam sebagai agama yang anti-kemanusiaan kerana memaksa orang tua, perempuan sarat mengandung, orang sakit kuat, budak kecil dan buruh kasar kerja berat untuk berpuasa! Jangan terperanjat jika orang Islam sendiri pun mempunyai gambaran yang sama tentang Islam sebagai agama yang condong kepada memberatkan.

Anda mungkin lagi gerun bila wujud sebilangan besar rakyat yang tertanam gambaran berulang-ulang bahawa Islam melahirkan ejen-ejen KGB yang berusaha menjadi “James Bond bertauliah” merisik, mengintip dan mengintai-intai di celah-celah bilik tertutup untuk menangkap mereka yang tidak berpuasa! Islam agama mengintai!

Demi untuk branding Islam sebagai agama rahmah, adalah lebih berhikmah untuk buat zon uzur iaitu bagi mereka yang terbukti layak mengikut syarak. Kita bukan sekadar bagi kenyataan lisan di media tentang syarat-syarat uzur yang boleh kecualikan daripada berpuasa, tapi kita perlu buktikan dengan jelas dan nyata secara komunikasi bukan lisan bahawa Islam memang rahmah kepada yang uzur.

Yang mencemarkan bulan Ramadan bukan mereka yang curi makan tetapi adalah usaha yang berulang-ulang menimbulkan sangka buruk kepada Islam sebagai agama bala!

NUIM-Yadim akan memainkan leading role dalam komunikasi silang budaya yang masih terlalu primitif di Malaysia.

* Abdul Naser Tun Rahman ialah Panel Pemikir NUIM-Yadim