Pengasas bersama OneCoin dipenjara 20 tahun

OneCoin menggunakan kejayaan Bitcoin bagi mengaburi mata pelabur dan menjanjikan peluang pelaburan lumayan. - Foto Awani
OneCoin menggunakan kejayaan Bitcoin bagi mengaburi mata pelabur dan menjanjikan peluang pelaburan lumayan. - Foto Awani
A
A
A

PENGASAS bersama mata wang kripto OneCoin dihukum penjara selama 20 tahun di Amerika Syarikat (AS).

Menurut pihak berkuasa, Sebastian Karl Greenwood telah bersubahat dengan beberapa individu lain termasuk 'Cryptoqueen', yang kini berada dalam senarai 10 individu dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Kesemua mereka didakwa menyeleweng lebih AS$4 bilion (RM18.69 bilion) daripada pelabur.

Greenwood, 46, ditahan di Thailand pada Julai 2018 dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram apabila dihadapkan ke mahkamah pada bulan Disember.

Pihak berkuasa berkata, mata wang kripto OneCoin, yang diperkenalkan pada tahun 2014 di Bulgaria, berfungsi sebagai skim piramid global.

Greenwood memulakan dan mengurus syarikat itu bersama Ruja Ignatova, atau lebih dikenali sebagai 'Cryptoqueen', yang telah menghilangkan diri sejak tahun 2017.

OneCoin menggunakan kejayaan Bitcoin bagi mengaburi mata pelabur dan menjanjikan peluang pelaburan lumayan.

Namun pihak pendakwa raya AS berkata, OneCoin tidak mempunyai nilai dan merupakan skim palsu sejak ia diperkenalkan. - Awani

Artikel Berkaitan: