Bekas pegawai KBS dipenjara 15 tahun, didenda RM284.2 juta

Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd, 64, (kanan) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 tuduhan pengubahan wang haram, sejak 2012. - Foto Bernama.
Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd, 64, (kanan) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 tuduhan pengubahan wang haram, sejak 2012. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd pada Khamis dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan didenda berjumlah RM284.2 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 tuduhan pengubahan wang haram, 11 tahun lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu terhadap Otman, 64, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Setelah mahkamah mendengar keterangan bersumpah daripada kesemua saksi-saksi dan meneliti kesemua eksibit serta hujahan dikemukakan, mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya," kata Kamarudin.

Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, mahkamah memerintahkan Otman dipenjara berjumlah 243 tahun dan didenda RM190 juta atau dipenjara 119 bulan, sekiranya gagal membayar denda manakala bagi 15 tuduhan salah guna kedudukan, lelaki itu dipenjara 85 tahun dan didenda RM10.8 juta atau dipenjara 125 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.

Sementara itu, bagi 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, mahkamah memerintahkan Otman dipenjara antara tiga bulan dan 11 tahun dan didenda berjumlah RM83.4 juta atau dipenjara 934 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.

Bagaimanapun, Kamarudin mengarahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula hari ini, menjadikannya selama 15 tahun.

Hakim itu juga membenarkan permohonan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Otman untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman denda dan penjara itu dengan syarat wang jaminan ditambah sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, tertuduh dijamin RM250,000 dengan seorang penjamin.

Kamarudin mengarahkan jaminan RM100,000 dibayar hari ini dan baki selebihnya iaitu RM200,000 dibayar sebelum atau pada Isnin depan. - Bernama.